TEMERLOH - Masjid Temerloh Jaya giat mengatur aktiviti mengimarahkan bulan Ramadan selepas beberapa tahun tidak dapat dijalankan akibat penularan Covid-19.
Pengerusi masjid, Dr Abdullah Ismail memberitahu, pihaknya menyambut kedatangan bulan mulia itu dengan penuh kesyukuran selain giat melakukan persediaan rapi.
"Khamis lalu, semua pelekat atas karpet dan foyer dicabut serta dibersihkan sebagai persediaan prosedur operasi standard (SOP) baharu saf iaitu susunan sejadah dirapatkan.
"Selain itu, sempena solat Jumaat semalam, satu taklimat khas mengenai program Ihya Ramadan dimaklumkan pada semua jemaah secara rasmi untuk mewujudkan semangat Ramadan.
"Turut diagihkan 1,000 peket kurma kepada jemaah sebagai tanda ukhwah dan ucapan terima kasih terhadap mereka yang banyak menyokong selama ini," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Ujarnya, agihan wang tunai dan barangan makanan asas juga diedarkan Jawatankuasa Kebajikan masjid kepada 76 keluarga terpilih sebagai permulaan dan aktiviti menyantuni golongan memerlukan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa.
"Pintu masjid juga terbuka sepanjang waktu dan para jemaah boleh datang ke masjid bila-bila masa.
"Selain menggunakan imam tetap, kita turut menjemput imam jemputan secara bergilir," katanya turut memaklumkan program iftar diadakan setiap hari sepanjang Ramadan.
Jelasnya, jemaah juga perlu memakai pelitup muka sepanjang waktu selain melakukan imbasan kod MySejahtera serta memastikan kesihatan diri sebelum hadir ke masjid untuk mengelakkan penularan Covid-19.
"Sememangnya pihak masjid amat bersyukur dan teruja selepas kelonggaran diberikan apabila memasuki tempoh endemik dan terima kasih kepada pihak kerajaan negeri dengan kebenaran diberikan," jelasnya.
Sementara itu, katanya, masjid itu juga bakal melakar sejarah apabila menggunakan tenaga solar bermula Ramadan ini untuk penjimatan elektrik selain menjaga alam sekitar.
"Masjid Temerloh Jaya antara masjid di negeri ini yang menggunakan tenaga solar selaras dengan usaha masjid menyokong kempen kelestarian alam sekitar.
"Jadi kita lancarkan kutipan dana kerana pemasangan sistem ini memakan kos kira-kira RM200,000 dan mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh merujuk terus ke pihak masjid," katanya lagi.