SHAH ALAM - Umat Islam di Malaysia kembali menunaikan solat tarawih secara berjemaah sejak dunia dilanda pandemik Covid-19.
Malah bukan itu sahaja, jemaah di masjid dan surau juga dapat merapatkan saf untuk menunaikan solat fardu selain menyemarakkan program ihya Ramadan apabila negara kini beralih ke fasa endemik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan khas sempena Ramadan berkata, bagaimanapun perkara berkenaan tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri.
"Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada Keluarga Malaysia yang beragama Islam serta seluruh Muslimin dan Muslimat di mana sahaja berada.
"Sepanjang kita diuji dengan pandemik Covid-19, umat Islam di Malaysia tidak dapat mengimarahkan masjid seperti menganjurkan majlis berbuka puasa dan moreh, manakala solat fardu dan tarawih berjemaah terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
"Alhamdulillah, kita kini dalam fasa peralihan ke endemik yang membolehkan Keluarga Malaysia kembali kepada kehidupan normal,” katanya secara langsung yang disiarkan di semua platform media rasmi pada Sabtu.
Pada Jumaat, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad telah mengumumkan bahawa umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa mulai Ahad.
Syed Danial berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Ahad menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Ismail Sabri berkata, walaupun diberikan kelonggaran, namun pemakaian pelitup muka di tempat awam masih diwajibkan dan orang ramai diminta jangan leka serta terus mengamalkan kawalan kendiri.
"Kita percaya ramai yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Ramadan kali ini kerana tidak berpeluang menyambutnya pada Ramadan yang lepas," katanya.
Dalam pada itu, sempena Ramadan ini beliau turut menasihati orang ramai supaya mengambil peluang menginsafi diri dan mengumpul pahala dengan memperbanyakkan amalan bersedekah.
"Semoga bulan Ramadan dapat memperkuatkan aspek rohani Keluarga Malaysia dan pada masa sama amat penting bagi umat Islam memelihara hubungan bukan sahaja dengan Maha Pencipta tetapi juga dengan sesama manusia.
"Sekali saya mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan selamat berpuasa kepada seluruh Keluarga Malaysia beragama Islam. Ramadan disyukuri, insafi diri,” ujarnya.