KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak leka dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) walaupun kelonggaran diberikan sejak negara memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula Jumaat.
Katanya, pematuhan itu termasuk pemakaian pelitup muka di tempat awam yang masih diwajibkan sehingga kini.
"Walaupun kita diberikan kelonggaran, tetapi pemakaian pelitup muka di tempat awam masih diwajibkan. Jangan leka dan terus mengamalkan kawalan kendiri.
"Alhamdulillah kita kini dalam Fasa Peralihan Ke Endemik yang membolehkan Keluarga Malaysia kembali kepada kehidupan normal,” katanya dalam Ucapan Khas Sempena Ramadan 1443 Hijrah, yang disambut pada Ahad.
Ucapan khas itu disiarkan di saluran televisyen tempatan di sini malam Ahad.
Sepanjang diuji dengan pandemik Covid-19, beliau berkata umat Islam di negara ini tidak dapat mengimarahkan masjid seperti menganjurkan majlis berbuka puasa dan moreh, manakala solat fardhu dan tarawih berjemaah terikat dengan SOP yang ketat.
"Pada Ramadan tahun ini, umat Islam dapat kembali merapatkan saf untuk menunaikan solat fardu dan tarawih secara berjemaah, serta menyemarakkan program ihya Ramadan, tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri.
Kita percaya ramai yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Ramadan kali ini kerana tidak berpeluang menyambutnya pada Ramadan yang lepas,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Ramadan adalah peluang untuk menginsafi diri, dan mengumpul pahala dengan memperbanyakkan amalan bersedekah.
Beliau berharap bulan mulia ini dapat memperkuatkan aspek kerohanian Keluarga Malaysia dan dalam masa yang sama, umat Islam perlu memelihara hubungan bukan sahaja dengan Maha Pencipta tetapi juga sesama manusia. - Bernama