'Syukur dapat tunai solat tarawih secara rapat saf'

Iklan
Sebahagian jemaah menunaikan solat sunat tarawih di Masjid Pekan Sekinchan di sini pada Sabtu.

SEKINCHAN - Jemaah di Masjid Pekan Sekinchan bersyukur kerana berpeluang menunaikan solat tarawih dengan merapatkan saf setelah tidak dapat berbuat demikian berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara pada Mac 2020.

Seorang jemaah, Somati Topo, 66, berkata, sudah tentu kebenaran itu sesuatu yang dinanti dan disifatkan begitu istimewa dengan kehadiran Ramadan tahun ini.

Iklan
Iklan
Somati

"Saya bersyukur kepada ALLAH kerana berpeluang mengerjakan solat sunat tarawih pada tahun ini.

"Saya anggap ini sebagai satu hadiah paling bermakna kerana berpeluang untuk merapatkan saf yang menjadi sebahagian daripada kesempurnaan dalam menunaikan solat," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Iklan

Somati berkata, umat Islam tentunya amat berterima kasih atas keprihatinan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan ketua agama Islam di negeri ini berhubung garis panduan ketetapan solat berjemaah dan tarawih di negeri ini.

"Sememangnya pengumuman ini amat dinantikan seluruh umat Islam di negeri ini dan kami berterima kasih kerana baginda (Sultan Sharafuddin) sentiasa peka dan mengambil berat soal institusi agama dan kepentingan kesihatan rakyat," jelasnya.

Iklan

Sementara itu, Setiausaha Masjid Pekan Sekinchan, Abd Rahim Hassan, 66, berkata, kira-kira 400 jemaah menunaikan solat tarawih secara jemaah di masjid itu pada Sabtu.

Abd Rahim

Katanya, lebih istimewa tahun ini berbanding semasa negara berdepan pandemik Covid-19 lalu, mereka turut mendatangkan imam tahfiz bagi mengetuai solat sunat itu.

Jelasnya, solat sunat tarawih dengan 20 rakaat di masjid itu sepanjang Ramadan ini dipimpin pelajar dari Maahad Tahfiz As Syakirin Parit 11 Pasir Panjang.

"Kita harap pengimarahan masjid ini memberi peluang kepada jemaah untuk mengumpul pahala sepanjang Ramadan ini," katanya.