MELAKA - Rata-rata umat Islam meluahkan rasa syukur apabila kerajaan telah melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) dengan membenarkan solat tarawih secara berjemaah di masjid dan surau.
Mereka gembira dan sebak apabila dapat kembali menunaikan solat sunat tersebut secara berjemaah di masjid setelah dua tahun melaksanakannya di rumah sahaja bersama keluarga.
Menurut tinjauan Sinar Harian di masjid sekitar Melaka mendapati rumah ibadat tersebut kembali meriah dengan kehadiran umat Islam untuk menunaikan solat tarawih.
Pesara tentera, Zulkafli Yaakob, 56 berkata, kebenaran tersebut membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk berpuasa dan solat tarawih secara berjemaah di masjid berdekatan.
"Semestinya saya rasa sebak dapat solat sunat tarawih berjemaah di masjid. Bukan itu sahaja, sekarang pun dibenarkan untuk solat rapat saf dengan penjarakan satu sejadah. Jadi, lebih ramai orang boleh datang ke masjid.
"Diharapkan umat Islam yang mampu melakukan solat tarawih dapat mengimarahkan lagi masjid dan surau yang berdekatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Zulkafli berkata, meskipun diberi kelonggaran, orang ramai diingatkan supaya tidak melupakan SOP yang ditetapkan seperti kurangkan bersentuhan dan memakai penutup muka.
"Dalam gembira, kita jangan lupa juga SOP, sebab virus ini masih ada. Risau akan merebak dan kelonggaran ini ditarik balik. Harapnya tidak akan berlaku lagi,” ujarnya.
Sementara itu, penjawat awam, Muhammad Zuhair Azman, 24, turut meluahkan rasa kegembiraannya setelah dibenarkan untuk solat tarawih secara berjemaah di surau berdekatan rumahnya.
Katanya, perkara tersebut merupakan langkah terbaik dalam menyeru lebih ramai umat Islam untuk solat secara berjemaah.
"Sebelum ini, ramai yang meluahkan di media sosial bahawa mereka hampa tidak dapat solat tarawih di masjid dan sebagainya. Jadi, pada tahun ini, selari dengan peralihan ke endemik, kebanyakan SOP telah dilonggarkan.
"Oleh itu, saya rasa perkembangan ini membuatkan lebih ramai umat Islam tersenyum apabila mendapat perkhabaran gembira ini. Alhamdulillah, selepas ini masjid semakin meriah,” ujarnya.