Berjimat kerana harga barang tinggi

Iklan
Orang awam yang dilihat ke Pasar Harian Selayang bagi membeli keperluan bahan mentah.

ALOR SETAR - Kehadiran Ramadan tahun ini lebih menggembirakan berikutan negara memasuki peralihan endemik.

Bagaimanapun, di sebalik keseronokan itu, ramai yang memilih untuk menyambut Ramadan dengan melakukan persiapan secara sederhana dan ala kadar mengikut kemampuan masing-masing, berikutan kenaikan kos sara hidup khususnya harga barang.

Iklan
Iklan

Penjawat awam, Huzaina Hashim, 48, membuat persiapan secara sederhana tanpa berbelanja berlebihan memandangkan harga kebanyakan barangan basah mahupun kering lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

"Persiapan biasa sahaja, memang ada kenaikan harga barang walaupun sedikit tetap akan meningkatkan perbelanjaan kita, jadi saya perlu buat perancangan sebaiknya untuk elak terlebih belanja,” katanya.

Iklan

Huzaina berharap peniaga di bazar Ramadan turut mengenakan harga yang setimpal dengan barangan yang dijual dan tidak mengambil kesempatan atas kenaikan harga barang mentah.

"Harap pihak berkuasa pantau harga makanan di bazar Ramadan supaya tidak bebankan orang ramai, sudahlah terpaksa berdepan dengan kenaikan harga barang, kalau harga makanan pun naik mendadak, kuasa membeli rakyat akan menurun,” katanya.

Iklan

Di PERAK, tinjauan Sinar Ahad di Pasar Awam Batu Gajah di sini mendapati orang ramai sudah mula memenuhi premis berkenaan seawal jam 8 pagi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Bahan mentah seperti ayam standard dan daging antara yang paling laris dijual selain ikan, santan dan sayur-sayuran.

Penjawat awam, Mohd Imran Md Nor, 51, berkata, memilih untuk datang awal kerana sudah menjangkakan orang ramai akan berpusu-pusu membeli barangan segar di hari terakhir Syaaban.

"Setakat saya beli tadi, harga barangan masih dalam keadaan biasa, tiada kenaikan,” katanya.

Bahagian sayur di Pasar Awam Batu Gajah sesak dengan pengunjung yang membeli belah.

Di JOHOR, tinjauan di pasar basah di Johor Bahru mendapati ia kembali sesak dengan orang ramai yang mula mengunjungi perkarangan pasar seawal jam 7.10 pagi.

Pembukaan sempadan Malaysia-Singapura dan juga peralihan negara kepada fasa endemik juga dipercayai menjadi punca kehadiran pengunjung yang lebih ramai berbanding kebiasaannya.

Pengunjung, Saodah Jaafar, 62 berkata, pembeliannya kali ini lebih banyak berbanding kebiasaannya kerana mahu membuat persiapan dan bekalan ketika Ramadan ini.

"Kita beli barang lebih sikit kali ini, untuk tambah-tambah bahan dan masak lauk esok. Tengok barang masih boleh dibeli tetapi kita harap tiada kenaikan (harga) hingga raya,” katanya.

Keadaan Pasar Awam Larkin yang dilihat mulai sesak dengan kehadiran orang awam yang mahu mendapatkan barangan keperluan harian.

Di KUALA LUMPUR, Pasar Harian Selayang sibuk daripada kebiasaan susulan peningkatan pembeli yang datang membeli keperluan bahan mentah bagi persiapan Ramadan.

Pengunjung, Afida Abu Zahrin, 40, dari Shah Alam yang mengunjungi pasar berkenaan secara bulanan bagi pembelian stok bahan basah mengakui keadaan pasar berkenaan dilihat sibuk daripada biasa.

Ditanya mengenai harga barang, katanya, terdapat kenaikan harga dikesan dan berharap pemantauan berterusan daripada agensi berkaitan dilakukan bagi mengelak ada pihak mengambil kesempatan.

"Dulu bawa RM100 dapat beli banyak barang tapi sekarang dengan nilai tersebut hanya dapat beli beberapa ikan sahaja. Siakap sebelum ini RM10 sekilo kini naik kepada RM18, begitu juga udang dan sotong pun naik harga.

"Apabila bahan mentah naik, harga makanan di kedai pun akan naik harga. Saya golongan pertengahan pun rasa terbeban apatah lagi mereka yang berpendapatan rendah.

"Jadi saya harap agensi berkaitan melakukan pemantauan berterusan dan bukan hanya turun apabila menerima aduan. Saya juga cadangkan supaya semua barang makanan diletakkan harga siling bagi mengawal kenaikan harga,” ujarnya.

Di KELANTAN, seorang ibu empat anak, Salina Salleh, 44, berasa terbeban kerana mengeluarkan banyak perbelanjaan untuk persekolahan anak.

"Sekarang untuk berpuasa, selepas ini belanja untuk Aidilfitri pula jadi kena berjimat," katanya.