SUDAH tiba masanya untuk Perak FC, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan kerajaan negeri Perak duduk semeja menangani kemelut melanda skuad The Bos Gaurus ketika ini.
Pendapat itu disuarakan bekas Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang menyifatkan kemelut sama pernah melanda skuad Kejor Yeop Skor itu pada musim 2010.
Malah katanya, skuad Seladang ketika itu hampir keseluruhannya dibantu kerajaan negeri dan juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berpangkalan di negeri Perak.
"Saya pernah ada pengalaman kes gaji tertunggak, EPF tak bayar, cukai tak bayar musim 2010 lalu tetapi pada masa itu kerajaan negeri Perak menerusi GLC negeri banyak membantu menyelesaikan kes tunggakan pasukan yang hampir juga nak disingkirkan daripada menyertai liga.
"Alhamdulillah, kita dapat selesaikan tunggakan berjumlah hampir RM4.7 juta juga masa itu sehinggalah ke hari terakhir tempoh diberikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan bantuan kerajaan negeri hingga Perak akhirnya tidak jadi menyertai Liga FAM (ketika itu).
"Oleh itu, kes yang berlaku ketika ini, jelas kerajaan negeri Perak perlu tampil juga membantu Perak FC kerana isu melanda ketika ini bukannya semata-mata isu bola sepak, sebaliknya melibatkan permainan rakyat yang akan beri kesan kepada negeri, khususnya kepada para penyokong bola sepak negeri Perak itu sendiri.
"Ini kerana walaupun kita sudah memasuki era FC (penswastaan) tetapi Perak FC tetap mewakili pasukan negeri Perak,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Untuk rekod, isu tunggakan gaji berkenaan telah berlarutan sejak musim lalu hingga memberikan impak besar apabila menyaksikan ramai pemain kelab berkenaan meninggalkan Perak FC.
Lebih parah, gara-gara tunggakan gaji berkenaan, Perak FC juga dilaporkan hanya mampu mendaftarkan seramai 20 pemain bagi mengharungi pusingan pertama saingan musim ini.
Mengulas lanjut, Zainol Fadzi menyifatkan penghijrahan ramai pemain Perak FC pada musim 2020, 2021 termasuk pada awal musim ini ternyata satu kerugian besar.
Bagaimanapun katanya, dalam soal itu pemain tidak sewajarnya dipersalahkan kerana sebagai pemain profesional, mereka perlu mencari peluang yang lebih menjamin masa depan dan karier masing-masing.
"Bila ramai pemain keluar mencari team yang lebih stabil, ia adalah kerugian paling besar kerana pemain berkenaan telah kita develop dari zaman Piala Belia, Piala Presiden dan Sukma tetapi akhirnya mereka tidak menyumbang khidmat ke negeri kelahiran disebabkan kes-kes macam ini.
"Kita tak salahkan pemain kerana mereka perlu mencari peluang yang lebih terjamin untuk masa depan dan karier mereka sendiri. Lagi pun perkara seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini walaupun memang ada kes-kes tunggakan gaji tetapi tidak begitu serius sebagaimana yang berlaku kali ini sampaikan MFL keluarkan amaran dan umumkan pemotongan mata,” katanya.
Sementara itu, Zainol Fadzi menegaskan sepatutnya sejak dari awal, penelitian perlu dibuat terhadap mana-mana pihak yang mahu menyatakan minat mahu mengambil alih Perak FC, terutamanya dari segi kemampuan kewangan yang dimiliki.
"Saya dengar ada pemain tak dibayar hingga enam ke tujuh bulan gaji terutama pemain pelapis skuad Piala Belia, Piala Presiden walaupun gaji mereka agak rendah.
"Tunggakan ini ternyata memberikan kesan bukan sahaja kepada permainan tetapi juga kehidupan mereka,” katanya.