MANCHESTER City Perlu memenangi kesemua baki lapan perlawanan liga musim ini jika mahu dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris musim 2021/2022.
Amaran tersebut dilaungkan pengendali City, Pep Guardiola, yang melihat sekiranya The Citizens keciciran mata ia hanya akan meranapkan impian untuk bergelar juara musim ini memandangkan pasukannya kini dibezakan satu mata dengan Liverpool yang kini berada di kedudukan kedua.
"Kami ada baki lapan perlawanan dan 24 mata penuh perlu dikutip oleh pasukan ketika ini. Sekiranya City keciciran mata saya lihat ia akan memusnahkan impian pasukan untuk sekali lagi bergelar juara.
"Liverpool kini sedang mengekori rapat dengan dibezakan satu mata. Kita boleh berharap Liverpool keciciran mata dalam lapan perlawanan seterusnya, namun ia satu perkara yang mustahil untuk dilakukan.
"Mahu atau tidak, pasukan perlu memenangi kesemua lapan perlawanan. Jika sebelum ini mereka boleh memenangi 14 perlawanan berturut-turut, jadi tidak mustahil mereka memenangi kejayaan tersebut dalam misi bergelar juara,” katanya kepada media selepas perlawanan menentang Burnley pada Sabtu.
Pada perlawanan yang berlangsung di Turf Moor, City berjaya kembali ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas melakar kemenangan meyakinkan 2-0 ke atas Burnley yang bergelut di zon penyingkiran.
City sebelum itu berada di kedudkan kedua selepas seteru rapatnya, Liverpool berada di takhta liga apabila berjaya menewaskan Watford 2-0 lebih awal di Stadium Anfield sebelum itu.
Dua gol babak pertama jaringan Kevin de Bruyne (5') dan Ilkay Gundogan (25') sudah cukup untuk mengesahkan tiga mata dimiliki city sekali gus menyaksikan pasukan tersebut kembali memimpin liga dengan kelebihan satu mata.
Keputusan di laman keramat The Clarets menyaksikan Manchester City kini mengumpul 73 mata selepas mengharungi 30 perlawanan manakala Burnley yang dikendalikan Sean Dyche kekal di tangga ke-19 liga selepas beraksi 28 perlawanan.