KUALA LUMPUR - Hanya empat peratus daripada pengundi negara ini yang mahukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kembali memegang jawatan itu pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menurut sebuah kajian dijalankan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.
Berdasarkan kajian khas dibuat pada akhir bulan Februari lalu, Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan mendedahkan, Najib menjadi pilihan terakhir calon Perdana Menteri pilihan rakyat berbanding lima nama tokoh politik lain termasuk pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad; Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri sedia ada, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.