Tradisi memasak bubur lambuk Masjid Kampung Baru diteruskan

Iklan
Bubur lambuk yang siap dimasak akan diedarkan selepas solat Asar. (Gambar kecil: Adham)

KUALA LUMPUR - Keenakan bubur lambuk Masjid Kampung Baru pastinya dinantikan warga kota yang sanggup beratur panjang setiap petang bagi mendapatkan juadah berbuka puasa itu sepanjang Ramadan.

Ketua tukang masak, Adham Abd Manan, 62, berkata, tradisi berusia lebih 100 tahun itu diteruskan pada Ramadan kali ini dengan purata 15 periuk bubur lambuk akan dimasak setiap hari.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai sembilan tukang masak terlibat dalam menyediakan juadah tersebut bermula jam 6.30 pagi sebelum 12 sukarelawan akan mengambil alih tugas pembungkusan.

"Bubur yang siap dibungkus itu kemudian akan diagihkan secara percuma kepada orang awam selepas solat Asar di bahagian khemah luar masjid.

Iklan

"Kebiasaannya kurang 30 minit, kerja agihan tersebut selesai dilakukan," kongsinya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Bekas pesara tentera udara itu berkata, penat lelah menyediakan bubur lambuk sepanjang Ramadan itu sedikit hilang apabila masakan yang disediakan itu dihargai oleh orang ramai.

Iklan

"Ada yang memuji sedap malah ada yang sanggup datang dari Melaka dan Pahang untuk mengambil bubur lambuk berkenaan. Ada juga ibu mengandung yang mengidam merasai bubur lambuk kami.

Sukarelawan yang ditugaskan membungkus bubur lambuk yang siap dimasak.

"Selera orang tidak sama tetapi mungkin keunikan rasa bubur ini disebabkan keberkatan daripada hasil sumbangan orang ramai yang membantu bagi kos operasi dan bahan memasak bubur lambuk," katanya.

Dalam pada itu, Adham mengakui penyediaan memasak bubur lambuk memerlukan kos yang tinggi termasuk penyediaan tujuh kilogram daging dan enam bungkus santan bagi setiap periuk tidak termasuk bahan-bahan lain.

Katanya lagi, pada tahun ini, bubur lambuk Masjid Kampung Baru dibungkus dalam plastik berlogo khas bagi mengelak berlaku kekeliruan.

"Ini kerana ada juga yang meletak bubur lambuk untuk diedar di masjid jadi bagi mengelak berlakunya salah faham atau sebarang masalah maka pihak pengurusan masjid mengambil keputusan untuk melaksanakan pembungkusan khas tersebut," katanya.