Tindakan tegas jika jual petrol subsidi kepada kenderaan asing

Iklan
Gambar yang tular menunjukkan seorang lelaki mengisi petrol RON95 ke dalam tangki sebuah kereta bernombor pendaftaran Singapura. - Foto tular Internet, gambar kecil: Alexander Nanta

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha stesen minyak yang didapati menjual minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961(Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974) akan dikenakan penalti.

Iklan
Iklan

Jelasnya, pemilik stesen minyak berdepan penalti berjumlah tidak melebihi RM1 juta atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali manakala bagi perbadanan atau syarikat akan didenda tidak melebihi RM2 juta.

"KPDNHEP mengambil maklum mengenai gambar tular sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran negara sempadan dikatakan mengisi minyak petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak di dalam negara.

Iklan

"Berdasarkan aduan tular, kenderaan bernombor pendaftaran Singapura itu dikatakan mengisi minyak Petrol RON 95 yang merupakan minyak bersubsidi.

"Kementerian memandang serius isu ini dan saya sudah mengarahkan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP untuk menjalankan siasatan dengan serta merta.

Iklan

"Saya juga telah mengarahkan pemantauan yang lebih agresif dijalankan di semua stesen minyak, terutama yang berdekatan dengan negeri bersempadan bagi mengelakkan ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas beliau, ativiti penguatkuasaan yang lebih agresif juga akan dilaksanakan dengan pelancaran Ops Pantau 2022.

Katanya, selain memastikan bekalan barangan mencukupi dan dijual pada harga munasabah, operasi berkenaan juga bagi memastikan pematuhan yang tinggi oleh peniaga berikutan pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi dan pintu sempadan negara bermula Jumaat.

"KPDNHEP dari semasa ke semasa telah mengeluarkan arahan kepada semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak yang bersempadan dengan Singapura bagi memastikan pematuhan larangan penjualan Petrol RON 95 kepada semua kenderaan termasuklah motosikal yang bernombor pendaftaran asing.

"Kementerian juga telah mengarahkan semua KPDNHEP negeri yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand supaya mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar akta,” ujarnya.

Tambah Alexander, orang ramai digalakkan untuk membuat aduan dan melaporkan kepada KPDNHEP jika terdapat aktiviti penyelewengan penjualan minyak bersubsidi kepada pihak yang tidak sepatutnya.