JPA tiada rekod rasmi 400,000 penjawat awam tertekan

Iklan
Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Dr Abdul Jalil Hassan ketika taklimat media mengenai penjawat awam yang merangkumi 25 hingga 30 peratus daripada warga sektor itu didapati mengalami tekanan emosi di Kompleks C3 JPA hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak dapat mengesahkan sama ada 400,000 penjawat awam yang dilaporkan mengalami tekanan baru-baru ini, tertekan daripada sudut positif ataupun negatif.

Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Psikologi JPA, Dr Abdul Jalil Hassan berkata, jumlah yang didedahkan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) itu hanya diambil berdasarkan kajian-kajian pihak lain.

Iklan
Iklan

"Bagi pihak JPA sendiri, kami tidak mempunyai rekod rasmi berkaitan jumlah pekerja dikatakan mengalami tekanan kerana tiada sebarang kajian secara menyeluruh dijalankan dalam kalangan 1.67 juta penjawat awam.

ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam tertekan, ada yang miliki kad psikiatri: Cuepacs

Iklan

"Selain itu, kami juga tidak memiliki data sebenar bilangan penjawat awam yang mempunyai kad psikiatri kerana ia dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi. Perkara (kad psikiatri) ini lazimnya melibatkan antara doktor dan pekerja sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Taklimat Bersama Media: 400,000 Penjawat Awam Tertekan di sini, hari ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Abdul Jalil memberitahu, setiap individu perlu mengalami dan berdepan dengan stres kerana 'rasa' itulah yang akan mendesak masyarakat untuk bekerja, belajar sekali gus berusaha mencapai matlamat dalam kehidupan.

Tambah beliau, persepsi orang ramai terhadap stres juga harus diperbetulkan kerana tekanan bukan sahaja mendatangkan kesan negatif malah menyuntik sisi positif.

"Misalnya dalam konteks penjawat awam, sekiranya kelompok ini berasa tertekan jika gagal memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat maka mereka mengalami stres yang baik.

"Bagaimanapun, stres positif berkenaan boleh bertukar menjadi negatif apabila terdorong dengan faktor sampingan seperti personaliti, sosial dan persekitaran," jelasnya.

Menurut beliau, sekiranya tidak ditangani dengan baik bimbang ia akan mendatangkan kemudaratan dan menjejaskan produktiviti pekerja.

"Sehubungan itu, bagi mengekalkan kestabilan kesihatan mental penjawat awam khususnya pihak JPA menempatkan pegawai psikologi dan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) di semua kementerian termasuk daerah.

"Sebaik-baiknya para pekerja boleh merujuk dua saluran ini berbanding berkongsi masalah dalam media sosial yang akan mengundang gejala siber buli," ujarnya.

Terdahulu, Cuepacs baru-baru ini mendedahkan lebih 400,000 penjawat awam tertekan dengan kerja sehingga mengalami tekanan jiwa dan diberikan kad psikiatri.

Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, 25 hingga 30 peratus daripada 1.67 juta penjawat awam mengalami tekanan dan trend tersebut tidak menunjukkan sebarang pengurangan sejak beberapa tahun lepas.

Menurutnya, kos sara hidup dan tekanan kerja dilihat menjadi antara faktor utama penjawat awam terus dibelenggu tekanan sekali gus, menyebabkan mereka diklasifikasikan sebagai pesakit psikiatri.