Perlindungan sosial perlu perubahan drastik

Iklan
Gambar hiasan. - Foto 123RF

ANTARA laporan Bank Negara Malaysia (BNM) minggu lalu yang menarik perhatian ramai ialah mengenai perlindungan sosial melibatkan golongan B40 dan M40.

BNM cuba menekankan bahawa perlindungan sosial membabitkan kesejahteraan kewangan perlu dibina semula sebagai benteng kehidupan yang lebih kukuh dalam menghadapi cabaran mendatang.

Iklan
Iklan

Pendek kata, BNM mahu memastikan rakyat tidak menghadapi masalah kewangan yang serius pada masa depan jika negara diancam virus baharu atau malapetaka seperti banjir besar.

Sehubungan itu, pembaharuan dalam perlindungan sosial dari aspek tabungan rakyat harus dilaksanakan sesegera mungkin oleh pihak berkaitan. Antaranya BNM menyarankan rakyat membina semula penampan kewangan mereka.

Iklan

Ia bukan sahaja membabitkan penjawat awam atau pekerja syarikat swasta yang wajib mencarum dalam dana kewangan negara seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bahkan pekerja sektor lain seperti petani, peniaga dan nelayan juga patut membina benteng kewangan yang sama.

Data terkini menunjukkan kira-kira 6.1 juta ahli KWSP mempunyai simpanan persaraan kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka.

Iklan

Lantaran itu, pembaharuan perlindungan sosial yang menyeluruh perlu dibuat seperti merombak kembali pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB).

Ini penting bukan sahaja dari sudut kesejahteraan kewangan bahkan melibatkan pelbagai aspek kehidupan meliputi kesihatan, peluang pekerjaan dan lebih penting ke arah membasmi kemiskinan.

Lebih-lebih lagi bilangan golongan B40 kini dikatakan semakin meningkat kepada angka B60.

Ini kerana rakyat masih dibelenggu pelbagai masalah termasuk harga rumah yang tinggi tetapi gaji rendah sehingga menjejaskan kehidupan seperti pendidikan dan pemakanan sihat.

Jika pembaharuan perlindungan sosial berjaya dilaksanakan ia secara langsung akan memperkukuh jaringan keselamatan ekonomi yang menjadi asas untuk membina masyarakat yang bersepadu dari aspek sosial dan ekonomi.

Andai jurang kehidupan rakyat masih melebar dan tidak dapat dikurangkan, maka kita masih belum layak dikatakan mencapai pertumbuhan ekonomi yang baik. Apatah lagi ingin mencapai status negara berpendapatan tinggi seperti yang dilaungkan sebelum ini.