MARIUPOL - Seorang blogger Ukraine dan bekas pesakit, Marianna Vyshemirskaya mendakwa perkara sebenar yang berlaku dalam kejadian pengeboman di sebuah hospital bersalin di Mariupol di negara itu pada 9 Mac lalu.
Dalam satu siri catatan cerita di laman Instagramnya baru-baru ini, Vyshemirskaya yang namanya dilaporkan sebagai Vyshegirskaya dalam kebanyakan laporan media Barat mendedahkan bahawa hospital itu sebenarnya tidak diserang menerusi serangan udara tentera Rusia tetapi dibedil oleh artileri.
Dia juga menjelaskan bahawa gambarnya yang menunjukkan dia sedang hamil ketika itu dan imej seorang wanita lain telah diambil tanpa kebenaran mereka oleh wartawan daripada sebuah agensi berita asing yang memakai pakaian tentera serta topi keledar.
Menurutnya, dia mungkin menghabiskan masa selama 30 minit berhampiran dengan hospital bersalin itu.
"Di sinilah saya bergambar. Saya yang terakhir bergambar. Apabila saya melihat wartawan itu mengambil gambar, saya memintanya untuk berhenti (mengambil gambar) kerana saya tidak mahu.
"Dia menjawab ya, ya, tetapi selepas saya dan seorang anggota polis yang telah bersetuju untuk menemani saya ke tingkat dua bangunan untuk mengambil barang-barang dan turun semula, dia (wartawan itu) mula merakam gambar kami," cerita Vyshemirskaya.
Menurut Vyshemirskaya, penguat kuasa undang-undang Ukraine turut memberitahu wartawan itu supaya tidak merakamkan gambarnya.
Bagaimanapun, wartawan berkenaan akhirnya beredar selepas diberi amaran buat kali kedua.
"Saya tidak memberi kebenaran untuk gambar saya diambil dan diterbitkan. Mereka (agensi berita asing) menerbitkannya atas inisiatif mereka sendiri,” cerita Vyshemirskay.
Wanita itu berkata, dua hari selepas kejadian itu, wartawan agensi berita asing tersebut datang semula dan memintanya untuk ditemu bual.
"Saya menjawab bahawa saya tidak berminat untuk berpolitik dan tidak mahu memberi sebarang temu duga," ceritanya.
Dia juga diberitahu bahawa gambarnya telah disiarkan di internet.
Katanya, ketika itulah serangan palsu dan maklumat tidak benar, bermula.
Dia juga ditanya jika terdapat serbuan udara.
"Saya menjawab bahawa tiada siapa yang mendengar (terdapat) serbuan udara. Letupan berlaku tetapi tiada bunyi sebelum atau selepasnya. Maklumat ini nampaknya tidak sesuai dengan keinginan mereka. Mereka memotongnya," katanya.
Sebelum ini, gambar yang dirakamkan oleh jurugambar agensi berita asing menunjukkan seorang wanita hamil berdiri di hospital Mariupol yang musnah akibat diserang tentera udara Rusia yang didakwa media Barat.
Vyshemirskaya dilaporkan melahirkan bayi perempuan selepas serangan artileri itu. - Agensi