'Rexy memahami budaya badminton Malaysia'

Iklan
Rexy Mainaky

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) disaran untuk melantik Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky sebagai ketua jurulatih sementara bahagian beregu lelaki negara sebagai persiapan menjelang Piala Thomas di Thailand pada bulan depan.

Bekas pemain kebangsaan, Roslin Hashim berkata, agak sukar buat BAM untuk mencari pengganti bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Flandy Limpele dengan tempoh masa kurang daripada sebulan.

Iklan
Iklan
ROSLIN

Malah Roslin yakin pemenang pingat emas acara beregu lelaki Sukan Olimpik Atlanta itu mampu menggalas tugas tersebut dengan sebaiknya berbekalkan pengalaman sebagai jurulatih pasukan kebangsaan sebelum ini.

"Dalam masa kurang daripada sebulan ini, saya rasa ia bukan satu perkara yang mudah untuk BAM mencari calon sesuai bagi menggantikan Flandy. Sebab banyak aspek perlu diteliti, termasuklah sama ada jurulatih itu benar-benar faham dengan budaya sukan badminton di negara kita.

Iklan

"Jadi saya ingat, BAM perlu melantik Rexy sebagai ketua jurulatih beregu lelaki sementara sebagai persiapan untuk kejohanan Piala Thomas.

"Dia (Rexy) bukanlah individu baharu dalam arena badminton negara. Malah saya rasa dia sudah cukup memahami budaya badminton yang akan membantu meningkatkan prestasi beregu negara menjelang kejohanan tersebut,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Iklan

Dalam pada itu, Roslin turut mencadangkan agar BAM menyenaraikan beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yii dalam skuad Piala Thomas negara selepas berjaya menampilkan aksi yang memberangsangkan baru-baru ini.

Katanya, kehadiran pasangan tersebut dilihat akan memberi barisan kejurulatihan lebih banyak pilihan selain akan memberi nilai tambah kepada pasukan negara.

"Kalau untuk bagi safe bahagian beregu lelaki negara, saya rasa BAM patut menyenaraikan Yew Sin-Ee Yii dalam pasukan Piala Thomas.

"Sebab sekarang ini, kita cuma ada tiga pasangan senior iaitu Aaron-Woii Yik, Sze Fei-Izzuddin dan Kai Wun-Wei Chong yang saya dengar mungkin akan ke Sukan SEA.

"Jadi dengan adanya Yew Sin-Ee Yii ini, saya lihat ia dapat membantu memperkuatkan lagi bahagian beregu lelaki negara. Lagi-lagi beregu lelaki kedua adalah mata yang kadangkala sangat penting dalam kejohanan berpasukan,” katanya.