PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte memuji persembahan yang ditampilkan pasukannya ketika membelasah Newcastle United 5-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di laman sendiri pada Ahad.
Menurut Conte, dia menyifatkan pasukannya kini berada di landasan terbaik untuk merebut slot ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim hadapan selepas pemain-pemainnya dilihat sudah mula memahami taktikal dan corak permainan yang mahu diterapkan.
"Jujur saya katakan, ketika saya mengambil alih kelab pada November, ia satu perkara yang sukar untuk saya menetapkan sasaran buat pasukan bagi musim ini.
"Malah saya juga takut untuk memberitahu peminat bahwa kami mampu untuk bermain di pentas UCL semula.
"Namun selepas apa yang ditampilkan pasukan dalam beberapa perlawanan sebelum ini, saya boleh katakan pasukan kini mampu untuk mendapatkan slot ke UCL.
"Mereka kini berjaya mengikuti corak permainan yang saya mahukan dan ini adalah pasukan bola sepak yang sebenar," jelas Conte.
Pada perlawanan yang berlangsung di Tottenham Stadium, Spurs berjaya bangkit daripada ketinggalan satu gol pada babak pertama yang dijaringkan pemain Newcastle, Fabian Schar.
Memasuki babak kedua, skuad Lilywhites itu dilihat gagal disekat oleh lawan apabila membolosi gawang lawan lima kali melalui jaringan Ben Davies, Matt Doherty, Son Heung-min, Emerson Royal dan Steven Bergwijn.
Kemenangan itu meletakkan Tottenham di tangga keempat berkongsi 54 mata dengan pencabar terdekat, Arsenal namun kelab dari utara London itu masih berbaki dua perlawanan dan mampu kembali ke kedudukan keempat selepas berkunjung ke Crystal Palace awal pagi Selasa.