QUITO - Sekurang-kurangnya 12 banduan terbunuh dan 10 lagi cedera dalam rusuhan ganas yang berlaku awal pagi Ahad di sebuah penjara di selatan Ecuador, menurut laporan awal pihak berkuasa penjara.
Rusuhan itu berlaku di penjara Turi di bandar Cuenca, antara kompleks pemulihan terbesar di negara itu, lapor Xinhua.
Lebih 800 anggota polis dan tentera dihantar ke lokasi kejadian untuk mengawal keadaan.
Menteri Dalam Negeri, Patricio Carrillo ketika sidang akhbar berkata, setakat ini, 12 mangsa sudah dikenal pasti.
"Rusuhan tercetus berikutan sebuah kumpulan banduan ingin menguasai pusat tersebut menyebabkan tercetus pergaduhan," kata Carrillo.
Berikutan insiden itu, 90 banduan telah dipindahkan termasuk 10 yang cedera.
Keganasan semakin berleluasa di penjara Ecuador sejak beberapa tahun kebelakangan ini ekoran persaingan antara kumpulan banduan, rusuhan terburuk berlaku pada September 2021 menyaksikan 116 banduan terbunuh dan 80 lagi cedera. - Bernama