KUALA NERUS – Sambutan umat Islam terhadap tawaran berbuka di hotel melalui bufet Ramadan tidak terjejas walaupun berlaku kenaikan harga berikutan peningkatan kos termasuk bahan mentah.
Pengurus Besar Raia Hotel & Convention Centre Terengganu, Engku Morris Engku Hussin berkata, setakat ini tempahan bufet Ramadan masih menggalakkan dengan jumlahnya kekal seperti tahun sebelumnya.
"Harga bufet Ramadan ditawarkan sebelum ini adalah RM55 dan kini meningkat kepada RM70 bagi seorang dewasa.
"Setakat ini kita sudah menerima RM30,000 tempahan berbuka puasa melalui jualan baucer pembelian awal iaitu RM56 seorang dan dijangka ia akan meningkat selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bagi meraikan kakitangan dan 26 anak yatim Sekolah Kebangsaan Simpang Rawai, Marang di sini malam Ahad.
Sementara itu Engku Morris memaklumkan Raia Hotel & Convention Centre Terengganu menyasarkan pendapatan lebih tinggi pada tahun ini melalui pelbagai pakej perkhidmatan yang ditawarkan.
Menurut beliau, sasaran itu seiring dengan kemasukan pelancong asing selepas sempadan negara dibuka susulan fasa peralihan negara ke endemik pada Jumaat lalu selain kehadiran kunjungan pelancong domestik.
Beliau berkata, sebanyak 80 peratus bilik hotel bertaraf empat bintang tersebut sudah ditempah sekaligus menyaksikan industri perholetan kini kembali bernafas apabila
"Kita berusaha mencapai sasaran dan untuk itu kita memperkenalkan pelbagai pakej istimewa untuk menarik kedatangan pengunjung termasuk tawaran pakej penginapan, dewan konvensyen dan makanan,” katanya.