PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan 46,000 naskhah Al-Quran terjemahan Bahasa Melayu yang disumbangkan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud sebagai tanda persahabatan sangat istimewa antara Malaysia dan Arab Saudi.
Menurutnya, ia terutamanya dalam hasrat Malaysia untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN.
"Terima kasih saya ucapkan kepada Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan kerajaan Arab Saudi atas hadiah yang diberikan.
"Semoga ikatan diplomasi antara Malaysia dan Arab Saudi yang telah terjalin sekian lama akan terus kukuh dan berterusan," katanya menerusi laman Facebooknya pada Isnin.
Selain Al-Quran, Arab Saudi turut menyumbang 57 tan kurma untuk rakyat Malaysia.
Pada hantaran itu, sekeping gambar turut dimuatnaik yang memaparkan Ismail Sabri menerima hadiah tersebut daripada Duta Arab Saudi, Datuk Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan, di pejabatnya, dekat sini.
Pada 23 Mac lalu, Ismail Sabri mengusulkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, dalam usaha memartabatkan bahasa ibunda itu di peringkat antarabangsa.
Perbincangan berhubung perkara itu akan diadakan bersama pemimpin ASEAN yang lain.
Selain Malaysia, beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Filipina serta di sebahagian Kemboja turut menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.