SEREMBAN - Seorang wanita warga emas mengalami kerugian kira-kira RM5,000 dan cedera di pergelangan tangan selepas barang kemasnya dilarikan dua suspek bersenjatakan parang di hadapan rumahnya di Taman Tuanku Jaafar di sini, pada Jumaat.
Video kejadian yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan tular di media sosial memaparkan kedua-dua suspek menaiki motosikal.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kejadian pada jam 11.30 pagi itu berlaku ketika mangsa yang berusia 68 tahun menjemur kain di hadapan pagar rumah dan didatangi dua suspek lelaki menaiki motosikal jenis Kawasaki RR berwarna biru.
"Seorang daripada suspek turun dari motosikal dengan membawa sebilah parang lalu mengacukan senjata itu ke arah mangsa.
"Mangsa yang tinggal bersama suami, seorang anak perempuan, menantu dan tiga cucu dipaksa menanggalkan cincin dan gelang tangan emas yang dipakai pada tangan kirinya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Nanda, ketika kejadian hanya mangsa seorang berada di rumah dan akibat terlalu takut terus menanggalkan cincin emasnya.
Katanya, disebabkan gelang tangan emas sukar ditanggalkan, suspek bertindak merentap barang kemas itu.
"Mangsa tidak menjerit meminta bantuan kerana terlalu takut dan tiada jiran yang nampak kejadian berlaku.
"Mangsa mengalami calar kecil pada pergelangan kiri akibat gelang tangan emasnya yang direntap dan mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM5,000," katanya.
Jelasnya, lokasi kejadian adalah kawasan perumahan teres setingkat dan terdapat CCTV di rumah jiran mangsa.
"Hasil semakan rakaman CCTV mendapati suspek berbadan kurus, memakai topi keledar warna gelap dan pelitup muka.
"Polis masih giat memburu kedua-dua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun bersenjata," katanya.