JOHOR BAHRU - Pejabat Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura di Jalan Tun Abdul Razak di sini, menjadi tumpuan rakyat tempatan yang mahu memohon Permit Masuk Kenderaan (VEP) ke republik itu.
Pengunjung, Mohd Ariff Hafizal Mohd Fadzli, 30, berkata, kedatangannya untuk mengetahui maklumat berkaitan permohonan VEP ke Singapura sebagai persediaan awal.
Ini kerana, dia merancang berkunjung ke republik tersebut pada sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri pada bulan depan.
"Saya dan keluarga mempunyai ramai saudara mara di negara berkenaan dan kebiasaannya setiap tahun apabila tiba Aidilfitri memang akan berkunjung ke sana untuk beberapa hari, tetapi itu sebelum sempadan Malaysia-Singapura ditutup.
"Kini selepas dua tahun, kami akan dapat berkunjung semula ke negara jiran berkenaan untuk bertemu dengan saudara mara yang sudah lama terpisah, rasa teruja juga sebenarnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pada Isnin.
Katanya, bagi mengelakkan sebarang kesesakan atau kesulitan pada saat-saat akhir, dia membuat permohonan hampir sebulan lebih awal selain mahu mengetahui prosedur berkenaan VEP.
Seorang lagi pengunjung, Mohd Fadzil Rosli, 34, berkata, dia sudah membuat permohonan bagi mendapatkan VEP berkenaan pada Sabtu dan sedang menunggu jawapan pihak LTA.
"Jadi saya berkunjung ke pejabat LTA Singapura di sini dengan harapan permohonan itu akan dapat dipercepatkan," katanya.
Dia membuat permohonan itu untuk membolehkannya masuk Singapura dengan menggunakan motosikal selepas sejak dua tahun lalu hanya menggunakan perkhidmatan awam di republik tersebut.
Sempadan antarabangsa Malaysia kembali dibuka bermula 1 April lalu selepas ditutup akibat pandemik Covid-19 sejak 18 Mac 2020.