KUALA LUMPUR - Pasukan pembelaan yang mewakili Datin Seri Rosmah Mansor yakin dapat menimbulkan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan kes rasuah yang dihadapi, biarpun tidak memanggil Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai salah seorang saksi.
Pembelaan berkata demikian menerusi hujahan bertulis yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 29 Mac lalu, berhubung kes rasuah projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
Untuk rekod, Najib sepatutnya memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ketiga dalam kes isterinya, pada 10 Januari lalu.
Namun selepas diskusi, pembelaan membuat keputusan untuk tidak memanggil Najib kerana keterangan pemimpin itu, pada dasarnya bersifat menyokong.
Selain itu, pembelaan juga berhujah, pasukan pendakwaan gagal membuktikan bahawa Rosmah telah meminta dan menerima suapan daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin sama ada secara langsung atau tidak.
"Sebaliknya, pendakwaan terus mencari kesalahan anak guam tanpa sebarang asas dan bukti.
"Rosmah tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam kerajaan, maka jelas bahawa pertuduhan terhadap Rosmah adalah remeh dan mahu menjadikan wanita itu sebagai kambing hitam," katanya.
Ekoran itu pembelaan berkata, tiga pertuduhan dalam kes ini, anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 adalah tidak timbul.
Pada 18 Februari 2021, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Rosmah membela diri atas tuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak.
Rosmah, 71, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.
Beliau didakwa menerima rasuah itu melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion.
Dalam kes ini, Rosmah diwakili barisan peguam antaranya, Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader sementara Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pihak pendakwaan.