KUALA LUMPUR - Sindiket menjual pakaian dan kasut tiruan yang didalangi warga Pakistan dan Bangladesh berjaya ditumpaskan susulan serbuan di empat buah premis di ibu kota pada Selasa.
Sindiket yang dipercayai aktif sejak dua tahun lalu tumpas menerusi serbuan di tiga premis pemborong di Jalan Kenanga dan gudang di Taman Kencana, Kuala Lumpur.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, serbuan dibuat berdasarkan aduan diterima daripada pemilik cap dagang setelah hasil risikan dijalankan selama seminggu.
"Sebanyak 22,207 helai pakaian dan kasut berjenama tiruan disita hasil pemeriksaan di empat premis perniagaan itu.
"Jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM850,000 dan tindakan dikenakan kerana kesemua barangan yang dirampas dipercayai dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019," katanya dalam sidang media di Segambut pada Isnin.
Beliau berkata, tiga premis pemborong yang diserbu turut didapati menjual pakaian tiruan menerusi dalam talian.
"Serbuan yang dijalankan telah mengesan kegiatan menjual pakaian tiruan kepada pelanggan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
"Siasatan dijalankan mendapati baju dan seluar yang diperolehi dengan harga kos antara RM10 dan RM40 sehelai dijual pada harga RM25 hingga RM80," katanya.
Menurutnya, serbuan di sebuah gudang di Taman Kencana, Kuala Lumpur menemukan pihaknya dengan ribuan kasut berjenama.
Jelasnya, sindiket itu juga dikesan menjadi pembekal utama kepada pemborong dan peruncit di sekitar Kuala Lumpur serta turut menghantar bekalan kepada peniaga di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
"Hasil maklumat yang diperolehi, pihak kami dapati bekalan kasut ini adalah bagi tujuan penjualan kepada orang ramai yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Kasut berjenama ini diperolehi pada harga antara RM30 hingga RM80 sepasang dan akan dijual pada harga borong antara RM60 hingga RM100.
"Peniaga runcit pula akan menjualnya pada harga antara RM100 sehingga RM250 bagi sepasang kasut," katanya.
Tambahnya, kes berkenaan turut disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Jelasnya, KPDNHEP Kuala Lumpur akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan undang-undang Harta Intelek di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 secara berterusan.
"Penguatkuasaan akan dipertingkatkan dalam usaha membanteras penjualan barangan tiruan dengan kerjasama wakil pemilik cap dagangan berdaftar di Malaysia terutama menjelang perayaan Hari Raya Puasa yang lazim dengan penawaran pelbagai barang keperluan dan pakaian bagi perayaan tersebut.
"Usaha membanteras penyalahgunaan cap dagangan ini juga melibatkan komitmen negara di peringkat antarabangsa," katanya.
Ariffin berkata, pihaknya menyeru orang ramai agar tidak terlibat dalam urusniaga yang melibatkan barang tiruan berjenama serta tidak bersubahat dengan membeli barangan berkenaan daripada peniaga yang tidak bertanggungjawab.
"Tanggungjawab melindungi hak harta intelek adalah tanggungjawab bersama dan jangan sesekali bersekongkol dengan sindiket menjual barangan tiruan ini.
"KPDNHEP Kuala Lumpur memberi amaran keras kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada, peniaga yang ingkar bakal menerima hukuman yang berat sepertimana yang ditetapkan oleh undang-undang," katanya.