Ahli Parlimen Labuan gagal batal pertuduhan guna kedudukan dapat kontrak

Iklan
Datuk Rozman Isli

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli pada Isnin gagal dalam permohonan untuk membatalkan pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd yang dihadapinya.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob menolak permohonan itu selepas memutuskan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian tanpa menjalankan perbicaraan.

Iklan
Iklan

Beliau kemudian menetapkan 27, 28 dan 29 Jun, 7 Julai, 11 serta 12 Ogos sebagai tarikh perbicaraan dan 15 Jun untuk pengurusan kes.

Mahkamah turut melapangkan tarikh perbicaraan sebelum ini yang ditetapkan pada 9 Mei depan.

Iklan

Pada 7 Februari lepas, Rozman memfailkan permohonan itu atas alasan pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 terhadapnya adalah tidak berasas sama ada dari segi fakta mahupun perundangan dan dilakukan dengan niat jahat selain menyalahgunakan proses mahkamah.

Prosiding hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asri Abd Rahman Sidik dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman.

Rozman, 58, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

Iklan

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara jam 2.30 hingga jam 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan terhadapnya adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama