SHAH ALAM - Setelah hampir dua tahun menyepi, Dataran Karangkraf, Shah Alam di sini kembali dimeriahkan dengan penganjuran Program Iftar Ala Madinah@Karangkraf yang bermula pada Isnin sepanjang Ramadan kali ini.
Pengunjung dilihat mula hadir bersama keluarga dan kenalan sekitar jam 6 petang untuk mengambil tempat bagi memeriahkan program tersebut.
Acara pada petang itu turut diserikan dengan pengisian tazkirah sementara menunggu waktu berbuka puasa.
Program Iftar Ala Madinah@Karangkraf diadakan bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai suasana berbuka puasa seperti berada di Masjid Nabawi, Madinah ketika Ramadan.
Program yang diadakan bermula 4 April hingga 29 April ini merupakan acara di bawah naungan Sinar Harian bersama Karya Bestari dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).
Sementara itu, Ketua Projek yang juga Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, pelaksanaan program berbuka secara percuma itu diadakan bagi memberi peluang kepada orang ramai termasuk golongan yang memerlukan meraikan bersama-sama.
Katanya, acara tersebut mampu menampung sehingga 1,000 pengunjung setiap hari.
Orang ramai yang berminat untuk turut serta dalam program berbuka puasa ala Madinah ini perlu membuat pengesahan kehadiran jam 10 pagi sehari sebelumnya dengan menghubungi sekretariat di talian 019-213 3315.