Sasaran awal 31 pingat emas realistik

Iklan
Mohd Sadek

SETIAP kali menjelang penyertaan negara dalam temasya sukan besar seperti Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA, perhatian pasti tertumpu kepada sasaran pingat kontinjen negara.

Tidak terkecuali temasya Sukan SEA di Vietnam Mei ini apabila sasaran awal 31 pingat emas ditetapkan sambil jumlah sebenar hanya akan diketahui pada 13 April ini.

Iklan
Iklan

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Sadek Mustafa, sasaran 31 pingat emas yang ditetapkan itu realistik jika mengambil kira beberapa faktor selepas pasca pandemik Covid-19.

"Saya rasa sasaran awal 31 pingat emas ini agak realistik jika dilihat pada situasi semasa arena sukan tanah air pasca pandemik Covid-19.

Iklan

"Sebab kita perlu faham, ramai atlet yang dihantar ke Sukan SEA ini kecuali badminton kebanyakannya sudah lama tidak menyertai kejohanan kompetitif antarabangsa. Jadi ini akan memberi kesan kepada prestasi mereka.

"Selain itu, kita juga tiada data yang sempurna mengenai prestasi terkini atlet negara dan juga Asia Tenggara ketika ini. Yang ada cuma data tiga atau empat tahun lalu yang bagi saya sudah tidak lagi relevan.

Iklan

"Jadi ia akan menyukarkan kerja-kerja pegawai untuk menganalisis dan buat perbandingan realistik prestasi terkini mereka.

"Bagaimanapun ia cuma sasaran awal sahaja, tapi saya percaya atlet negara mahu meraih lebih pingat emas daripada apa yang ditetapkan," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara pada Khamis memaklumkan sasaran awal yang ditetapkan kepada kontinjen negara yang akan bertanding di Sukan SEA adalah sebanyak 79 pingat.

Jelasnya, sasaran awal 79 pingat yang merangkumi 31 pingat emas, 19 perak dan 29 gangsa dibuat berdasarkan perkembangan semasa dan perbandingan prestasi semasa atlet bagi temasya sukan dwitahunan itu.

Untuk rekod, pada edisi Sukan SEA Filipina 2019, kontinjen negara menamatkan saingan dengan prestasi hambar apabila sekadar mengutip 56 emas, 57 perak dan 72 gangsa. Kutipan tersebut nyata jauh tersasar berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 70 emas, 51 perak dan 105 gangsa.