LIMA 2019: Peniaga diingat jangan kaut untung melampau

Iklan
LIMA'19

ALOR SETAR - Kawalan dan pemantauan ketat di premis-premis sekitar Langkawi akan dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah sempena Pameran Maritim dan Angkasa (LIMA) 2019.

Pengarah KPDNHEP Kedah, Mohamad Fitri Hassan berkata, seramai 35 pegawai dari seluruh Kedah termasuk pegawai sedia ada di Langkawi akan hadir bagi mewujudkan persekitaran yang adil selain melindungi hak-hak pengguna berdasarkan pemantauan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya percaya jumlah kehadiran pelancong luar dan tempatan dijangka meningkat sepanjang tempoh LIMA berlangsung dan pihaknya akan memberi tumpuan kepada lokasi seperti hotel, restoran makanan, kedai dan gerai-gerai menjual makanan dan premis perniagaan.

"Kami telah mengatur pelan tindakan operasi dan pemantauan sepanjang LIMA berlangsung bermula 26 hingga 30 Mac. Tindakan undang-undang akan diambil serta-merta jika ada peniaga yang melakukan kesalahan," katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Mohamad Fitri berkata, peniaga diingatkan agar tidak menaikkan harga makanan untuk mengaut keuntungan tidak munasabah sempena penganjuran LIMA selain mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan oleh pihaknya.

Menurutnya, tindakan tegas berdasarkan akta-akta sedia ada akan digunakan kepada peniaga-peniaga yang ingkar.

Iklan

"Kami juga mahu memberi nasihat kepada pengguna untuk membuat keputusan yang bijak semasa membuat pembelian barangan atau perkhidmatan dan sentiasa mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini semasa membuat sebarang pembelian," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fitri berkata, sebanyak 888 kes telah dipantau oleh KPDNHEP Kedah pada 2018 yang melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1,876,556 dan jumlah kompaun pula melibatkan RM115,250.

Bagi kes 2019 pula sehingga 20 Mac lalu, sebanyak 242 kes berjaya diselesaikan.

Dalam tempoh tersebut ia membabitkan nilai rampasan sebanyak RM293,503 manakala jumlah kompaun pula sebanyak RM27,300.