MERAK Jalanan bawa sekeping wang kertas RM10 ke bazar Ramadan di Shah Alam pada Isnin untuk membeli juadah berbuka puasa. Rasa teruja sebab sudah dua tahun bazar ini tidak beroperasi akibat pandemik Covid-19.
Air sebungkus berharga RM3 manakala nasi putih beserta lauk ayam goreng berharga RM6 dan kuih pula dijual 50 sen sebiji. Paling sedikit kena beli tiga biji dan rata-rata peniaga menawarkan aneka jenis kuih pada harga RM2 bagi lima biji.
Itu tiga juadah asas berbuka puasa untuk orang bujang. Bagi mereka yang sudah berkeluarga, sudah pasti kos perbelanjaan melebihi RM10 setiap kali ke bazar Ramadan.
Kenaikan harga juadah berlaku saban tahun. Perkara ini tidak dapat dielakkan susulan peningkatan kos bahan mentah yang perlu ditanggung peniaga. Plastik pembungkus makanan juga sudah naik harga.
Apabila harga juadah terpaksa dinaikkan maka mahu atau tidak, pengguna mesti bijak berbelanja dengan membeli apa yang perlu sahaja. Jangan mudah tertewas dengan kehendak hawa nafsu lapar.
Bukan mudah kerana ketika dalam keadaan berpuasa, semua makanan nampak begitu menyelerakan. Bau aroma ayam golek membuatkan kita berfikir dua kali sama ada mahu membeli atau sekadar cuci mata.
Berkunjung ke bazar Ramadan adalah saat kita diuji. Ada lebih 30 gerai yang menjual ratusan jenis juadah. Memang seronok menjinjing banyak beg plastik tapi jika terlebih belanja, akan berlaku pembaziran sebab bukan semua makanan dibeli itu mampu dihabiskan.
Oleh itu Merak Jalanan menasihati diri sendiri dan semua orang supaya berjimat. Bagi mereka yang berkesempatan, boleh memasak di rumah untuk juadah berbuka dan sahur.
Namun tidak salah jika sekali sekala membeli di luar terutama pada hujung minggu. Dapat juga membantu peniaga tempatan meraih pendapatan.