Hanya perlu tempah petak, tiada caj untuk berbuka di padang MBK1

Iklan
Ain Shahirah (kanan) merakam gambar kenangan selepas berpeluang berbuka puasa di padang MBK1 pada Isnin. (Gambar kecil: Hamdan)

KUANTAN- Tiada sebarang caj dikenakan kepada mana-mana pengunjung yang berhasrat untuk berbuka puasa di padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) di sini.

Datuk Bandar MBK, Datuk Hamdan Hussin berkata, mereka hanya perlu membuat tempahan petak secara percuma melalui laman sesawang rasmi MBK.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 140 petak telah disediakan bagi tujuan itu bagi membolehkan orang ramai meneruskan tradisi berbuka di padang selepas ia ditutup ekoran pandemik Covid-19.

"Bilangan maksimum 12 orang setiap petak untuk tujuan berbuka puasa yang dibuka dari jam 6 petang sehingga 8.30 malam.

Iklan

"Jadi pengunjung perlu membuat tempahan di https://iftar.mbk.gov.my sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh berbuka dipilih.

"Pengunjung perlu memasuki pintu hadapan iaitu berdekatan jam besar bagi mendaftar masuk ke padang dan kita tidak mengenakan sekarang bayaran seperti mana yang didakwa oleh sesetengah pihak," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya majlis perasmian dan pelancaran pasar Ramadan dan bazar Aidilfitri lestari dan pintar MBK tahun ini di Mahkota Square di sini pada Isnin.

Hamdan meminta supaya pengunjung sentiasa menjaga kebersihan sebelum meninggalkan petak selepas berbuka puasa dengan munggunakan tong sampah yang disediakan.

Sebelum itu, beliau menjelaskan keputusan pembukaan padang untuk acara berbuka puasa sangat menggembirakan pengunjung kerana lokasi tersebut sangat ikonik dan menjadi satu daya tarikan untuk dikunjungi.

Sebanyak 140 petak disediakan untuk pengunjung yang ingin berbuka puasa di padang MBK1, Kuantan.

"Kita telah mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meneruskan acara tradisi ini dan semestinya ia merupakan satu momen yang tidak boleh dilupakan oleh setiap warga Kuantan" katanya.

Sinar Harian turut melakukan tinjauan di sekitar padang MBK1 dan mendapati orang ramai gembira apabila dapat berbuka di padang berkenaan.

Bagi penjawat awam, Mohammad Shafiq Shahidan,35, mengakui acara berbuka di padang itu umpama satu tradisi dan sangat berbesar hati dapat berbuka di situ walaupun perlu membuat tempahan terlebih dahulu.

"Apabila dapat tahu saja, saya terus 'booking' (tempah) petak yang disediakan melalui internet.

"Kalau nak diikutkan sebelum penularan Covid-19, boleh dikatakan selalu sangat saya dan keluarga berbuka di sini. Alhamdulillah, tahun ini dapat kami lepas 'gian' untuk berbuka puasa di Padang MBK 1 ini," katanya.

Sementara itu, pengunjung pertama kali, Ain Shahirah Moh Fairozi, 19, yang merupakan penuntut Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah pula berasa bertuah kerana berpeluang berbuka puasa di padang berkenaan setelah dua tahun tidak dibenarkan.

"Sebelum ini saya hanya dengar cerita dari kawan-kawan keseronokan berbuka di padang ini, tetapi hari ini saya sendiri berada di sini dan terasa seronok sangat dapat menikmati momen indah di sini," ujarnya.