KUALA TERENGGANU - Pilu hati seorang bapa apabila anak yang ditunggu-tunggu pulang ke rumah untuk berbuka puasa bersama rupa-rupanya sudah meninggal dunia akibat nahas jalan raya.
Jusoh Abd Rahman, 78, berkata, berita kematian anaknya, Muhammad Saufi Jusoh, 38, terlibat kemalangan diterimanya kira-kira jam 7.25 malam Isnin ketika sedang berbuka puasa.
"Waktu sedang berbuka saya dapat panggilan telefon, saya ingatkan daripada anak saya mungkin mahu beritahu dia lambat balik untuk berbuka bersama-sama.
"Tak sangka pula sebaliknya, waktu terima terima berita dia kemalangan tu saya terkedu sebab biasanya dia akan balik untuk berbuka bersama-sama kami lima beranak di rumah," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini pada Isnin malam.
Muhammad Saufi merupakan salah seorang daripada empat mangsa yang maut dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Lingai di Kuala Nerus kira-kira jam 6.22 petang pada Isnin
Tiga lagi mangsa ialah Syed Mohd Shukri Tuan Yahya, 36, Mohd. Sahlan Mat Saat, 37, dan Kairol Arman Kamrudin, 38.
Difahamkan, keempat-empat mangsa merupakan juruteknik yang menyediakan perkhidmatan pemasangan alat pendingin udara.
Kesemua mangsa ketika itu dalam perjalanan dari Besut menghala ke Kuala Terengganu selepas pulang dari tempat kerja sebelum ditimpa kemalangan.
Sementara itu, ibu kepada Mohd Shahlan, Che Rokiah Che Long, 65, berkata, dia berasa tidak sedap hati kerana tidak melihat van yang biasanya dinaiki anaknya lalu berhampiran rumah menjelang waktu berbuka puasa.
Katanya, van dinaiki anaknya itu biasanya akan diparkir berhampiran kawasan rumah mereka di Kampung Losong Haji Shafie sebelum ke kediaman anaknya di Kampung Padang Mengkuang, Bukit Payong di Marang.
"Biasanya setiap petang saya akan nampak van ini diparkir berhampiran rumah namun petang tadi (Isnin) saya tak nampak van.
"Saya rasa tak sedap hati. Rasa macam ada benda tak kena dan timbul persoalan sebab apa dia lambat sangat balik petang ini," katanya.
Menurut Rokiah, tidak lama selepas itu dia menerima panggilan daripada menantunya pada jam 7.25 malam memberitahu anaknya kemalangan.
"Waktu dapat berita kemalangan tu kami sedang berbuka. Saya ingat kemalangan biasa. Selepas solat Maghrib kami sekeluarga ke hospital dan dimaklumkan anaknya sudah meninggal dunia.
"Sedih sebab tak sempat jumpa anak saya. Kali terakhir makan bersama-sama sehari sebelum berpuasa. Rasa pilu sangat sebab dia pergi di saat isterinya sedang hamil lima bulan," katanya.
Rokiah ditemui di Unit Forensik HSNZ bersama suaminya, Mat Saat Jusoh, 72.
Sementara itu, Mat Saat berkata, walaupun masih terkejut dengan berita yang diterima, mereka sekeluarga pasrah dengan ketentuan Ilahi.
"Nak buat macamana sebab semuanya kuasa ALLAH SWT. Dia pergi pada bulan baik. Kami reda dan pasrah dengan ketentuan ini.
"Sudah tiba masa ajal menjemput dan dia ditakdirkan pergi lebih dahulu daripada kami yang lain," ujarnya.