SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 10,002 kes baharu pada Isnin sekali gus menjadikan kes kumulatif jangkitan adalah sebanyak 4,256,469.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 9,904 adalah kes tempatan dan 98 merupakan kes import.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 5,495 kes atau 54.94 peratus adalah pesakit kategori satu, 4,418 kes atau 44.17 peratus adalah pesakit kategori dua.
"Manakala, bagi kategori tiga pula sebanyak 30 kes atau 0.30 peratus dicatatkan, kategori empat dengan 33 kes atau 0.33 peratus dan kategori lima dengan 26 kes atau 0.26 peratus," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, daripada 89 kes Covid-19 kategori tiga, empat, dan lima yang dilaporkan, 31 kes (34.83 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi.
"34 kes atau 38.20 peratus telah menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak dan 24 kes atau 26.97 peratus telah menerima dos penggalak.
"Selain itu, 51 kes atau 57.30 peratus berumur 60 tahun dan ke atas dan 60 kes 67.42 peratus mempunyai komorbid," katanya.
Beliau turut menjelaskan, kadar kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) di Kuala Lumpur dan Perlis menunjukkan peratus pengisian melebihi 50 peratus.
"Kemasukan ke ICU di Kuala Lumpur adalah 60 peratus dan Perlis 55 peratus. Bagi penggunaan katil bukan ICU pula, Putrajaya mencatatkan 69 peratus dan Selangor 56 peratus.
"Pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan menurun kepada 140 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator adalah 16 peratus," katanya.