Bank Dunia unjur ekonomi Malaysia tumbuh 5.5 peratus pada 2022

Iklan
Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang pada 5.5 peratus pada tahun ini. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ekonomi Malaysia diunjur berkembang pada 5.5 peratus tahun ini, dipacu oleh pemulihan dalam permintaan domestik, pengembangan eksport dan pembukaan semula sempadan, kata satu laporan Bank Dunia.

Menurutnya, sektor luaran akan terus memberi sokongan, terutama elektrik dan elektronik (E&E), barangan serta sarung tangan getah perubatan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Bank Dunia turut mengingatkan bahawa pertumbuhan itu berkemungkinan lebih perlahan kepada 4.8 peratus sekiranya keadaan global terus meruncing susulan konflik ketenteraan Rusia-Ukraine, langkah mengetatkan dasar kewangan di Amerika Syarikat (AS) serta kelembapan struktur yang ketara di China.

Risiko lain termasuk gangguan dalam rantaian bekalan yang terus meruncing serta kemunculan varian Covid-19 baharu yang lebih ganas.

Iklan

"Walaupun ekonomi dijangka berada di landasan pemulihan, faktor-faktor seperti Covid-19, inflasi makanan dan ancaman banjir dijangka terus memberi tekanan terhadap kemajuan serta kesejahteraan golongan miskin dan mudah terjejas,” kata Bank Dunia dalam laporan Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik (EAP) April 2022 bertajuk ‘Braving the Storm,’ pada Selasa.

Pada tahun lepas, Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus bagi 2022 berbanding 3.1 peratus pada 2021.

Iklan

Bank itu turut menyifatkan kejutan dasar monetari di AS yang dijangka menyaksikan kenaikan kadar faedah sekurang-kurangnya 25 mata asas, berkemungkinan besar turut menjejaskan pertumbuhan sehingga −0.4 mata peratusan di Malaysia.

"Sebarang tindakan mengetatkan dasar monetari yang lebih awal daripada jangkaan akan hanya menyukarkan lagi pemulihan di negara-negara lain. Persekitaran kewangan di AS misalnya memberi pengaruh besar ke atas negara-negara Asia Timur Pasifik, terutamanya seperti Malaysia yang banyak bergantung kepada aliran modal jangka pendek.

"Risiko aliran keluar modal yang mampu memberi tekanan ke atas mata wang negara-negara terbabit, hanya mengundang langkah memperketat kewangan dengan lebih awal,” katanya.

Selain itu, kejutan kewangan akibat perang di Ukraine juga boleh menyumbang kepada tindakan AS mengetatkan dasar kewangan yang lebih perlahan daripada dijangkakan biarpun dalam persekitaran tekanan inflasi yang lebih ketara.

Bagi rantau EAP, keluaran dalam negara kasar (KDNK) diunjur berkembang 5.0 peratus tahun ini dan berkemungkinan menjadi lebih perlahan kepada 4.0 peratus -- susut daripada unjuran awal 5.4 peratus pada Oktober tahun lepas.

Pertumbuhan juga dijangka lebih perlahan di China dan AS berikutan kelembapan struktur dan perubahan rejim pengawalseliaan serta kitaran berkaitan.

"Sehubungan itu, kedua-dua negara itu dijangka memberi sumbangan lebih kecil terhadap pertumbuhan global pada 2022 dan 2023 berbanding 2021 yang menyaksikan pemulihan pengeluaran selepas penguncupan akibat pandemik Covid-19.

"Bagaimanapun, saiz sumbangan China dan AS terhadap pertumbuhan itu dianggarkan hampir sama besar seperti tahun-tahun pra-Covid-19,” katanya.

Menurut Bank Dunia, kelembapan 1.0 peratus bagi pertumbuhan AS dijangka memberi impak (0.4 mata peratusan) di rantau EAP berbanding penurunan dalam pertumbuhan China (0.3 mata peratusan).

Pertumbuhan China telah disemak turun kepada 5.0 peratus bagi 2022 iaitu lebih rendah daripada 5.4 peratus yang diunjurkan pada Oktober 2021.

Selain itu, kelembapan pertumbuhan di negara-negara Kumpulan Tujuh (G7) sebanyak 0.9 peratus akan melemahkan lagi permintaan eksport bagi negara-negara EAP, sekali gus menjurus kepada penurunan pertumbuhan purata sehingga 0.6 peratus.

Bank Dunia juga menjangkakan perang Rusia-Ukraine dan sekatan berkaitan, berkemungkinan besar turut menyebabkan kenaikan harga makanan dan bahan api serta menjejaskan pengguna dan pertumbuhan. - Bernama