CHRISTCHURCH - NEW ZEALAND. Buat pertama kalinya selepas serangan pengganas di masjid di Christchurch, kelibat Perdana Menteri Australia, Jacinda Ardern menyarungkan selendang menarik perhatian umum.
Kini tular pula di media sosial, foto seorang anggota polis memakai selendang sambil mengawal tanah perkuburan Memorial Park hari ini.
Memetik laporan stuff.co.nz, pegawai polis Konstabel Michelle Evans, 24, memakai selendang Calvin Klein, menyelit bunga mawar di dadanya sambil memegang senapang separuh automatik Bushmaster.
Foto itu memaparkan solidariti, rasa hormat dan perlindungan.
Jurugambar, Alden Williams berkata, gabungan tiga perkara itu menarik perhatian umum walaupun sebahagaian besar media hanya memberi tumpuan kepada ahli keluarga, mangsa serangan dalam majlis pengebumian.
"Saya telah banyak merakam foto pegawai polis tetapi gabungan seledang, senapang dan sekuntum bunga mawar adalah sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini," katanya.
Majlis pengebumian hari ini melibatkan 26 jenazah mangsa serangan masjid Christchurch pada Jumaat lalu.
Dalam pada itu, Williams, juga berkongsi beberapa foto di Instagram dan menerima pelbagai reaksi dari netizen.
Antara komennya seperti,"Imej itu sangat menakjubkan, cantik, ia benar-benar mewakili sifat toleransi, belas ihsan, kemanusiaan dan ia wajar dilihat sejauh mungkin".