BIARPUN dilabel pasukan pilihan pada saingan Liga Juara-Juara kali ini, namun pengendali Bayern Munich, Julien Nagelsmann resah apabila beberapa pemain utamanya disahkan mengalami kecederaan.
Menurut pengendali skuad The Bavarians itu, situasi berkenaan nyata membimbangkan menjelang aksi suku akhir pertama berdepan Villareal pada awal pagi Khamis.
Malah katanya, skuad yang terkenal dengan gelaran The Yellow Submarine itu juga masih segar dengan kejayaan membenam gergasi Serie A, Juventus 3-0 pada saingan kalah mati.
"Situasi kita ketika ini boleh dikatakan agak sukar kerana bakal berdepan dengan pasukan hebat dan ‘sukar dijangka’ seperti Villareal.
"Mereka memenangi Liga Europa musim lalu selain mengejutkan Juventus pada pusingan 16 lalu.
"Kini, kami bakal berdepan dengan ramai pemain utama mengalami kecederaan... sesuatu yang agak sukar,” katanya.
Untuk rekod, pemain seperti Corentin Tolisso serta peledak berbisa, Robert Lewandowski berada dalam senarai pemain utama yang mengalami kecederaan.
Sementara itu, Nagelsmann berharap pemain yang beraksi nanti mampu menghasilkan kejayaan buat Bayern.
"Siapa juga yang beraksi nanti perlu bermain bersungguh-sungguh bagi menjamin kejayaan pasukan.
"Seboleh-bolehnya kita tidak mahu tersingkir di peringkat ini seperti musim lalu oleh Paris Saint - Germain,” katanya.