Polis cari pemandu kereta Singapura tular pandu berbahaya

Iklan
Kenderaan mewah bernombor pendaftaran Singapura yang tular memandu secara berbahaya di Kota Tinggi pada Ahad.

KOTA TINGGI - Polis sedang mengesan sebuah kereta mewah bernombor pendaftaran Singapura kerana didapati memandu secara berbahaya dalam satu kejadian menerusi satu rakaman video yang tular di laman sosial Facebook pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berkenaan dipercayai berlaku di persimpangan lampu isyarat Felda Gugusan Adela (dari Jalan Sungai Rengit menghala Bandar Penawar) di sini.

Iklan
Iklan

"Polis menerima makluman berkaitan perkara ini menerusi satu rakaman video durasi 41 saat yang memaparkan sebuah kereta mewah berwarna emas dipandu dalam keadaan berbahaya dengan cara memotong kenderaan lain secara melulu hingga boleh mengakibatkan kemalangan.

"Aksi berbahaya itu dipercayai dirakam oleh orang awam yang mana kemudiannya telah memuat naik video itu di laman sosial pada 3 Mac lalu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Selasa.

Iklan

Menerusi rakaman video yang tular itu, sebuah kereta mewah jenis BMW dengan nombor pendaftaran Singapura dilihat memandu secara berbahaya dengan memotong beberapa kenderaan di laluan kiri dan kanan.

Dalam pada itu, Hussin berkata, Polis Daerah Kota Tinggi kini telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sedang mengenal pasti pemandu motokar terlibat.

Iklan

"Saya juga ingin menasihati orang ramai supaya tidak memandu kenderaan dengan aksi-aksi yang berbahaya sekali gus boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain," katanya.