Pengiktirafan EU bukti MySejahtera selamat, sahih

Iklan
Khairy (duduk, tengah) bercakap pada sidang media sempena lawatan kerja beliau di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh hari ini. - Foto Bernama

IPOH - Pengiktirafan sijil vaksinasi dan saringan Covid-19 oleh Kesatuan Eropah (EU) membuktikan Sistem Pengurusan Vaksin (VMS) dan MySejahtera di negara ini adalah selamat dan sahih.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pengiktirafan itu juga menunjukkan sistem yang dibangunkan mencapai dan berada pada taraf piawaian negara anggota EU terutama dari aspek keselamatan, kesahihan dan kemudahan.

Iklan
Iklan

"Jadi ini sebenarnya adalah pengiktirafan kepada sistem VMS dan sistem MySejahtera kita yang memaparkan sijil vaksin.

"Sistem ini akan banyak membantu pengembara dari Malaysia nanti, pergi ke EU tiada masalah. Mereka boleh tunjuk MySejahtera yang boleh diintegrasi dengan sistem mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Selasa.

Iklan

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lai Ming.

Khairy berkata, VMS yang dibangunkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu memang berdaya saing dengan EU dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Iklan

Katanya, melalui MOSTI, kerajaan juga sedang melakukan rundingan dengan negara-negara besar lain yang menjadi destinasi utama bagi pelancongan dan pelaburan untuk memberi pengiktirafan sama ke atas VMS dan MySejahtera.

"Setakat ini tiada masalah guna MySejahtera pergi ke negara lain, macam saya pergi ke UK (United Kingdom) beberapa minggu yang lepas, tiada masalah pun guna MySejahtera," katanya.

Isu MySejahtera telah menarik perhatian umum apabila dibahas dalam sidang Dewan Negara pada 31 Mac lepas susulan terdapat banyak pertikaian mengenai aplikasi berkenaan yang boleh menimbulkan salah faham.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin memberitahu akan hadir ke prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 14 April ini berhubung pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera.

Beliau bersedia untuk menjawab semua persoalan yang dibangkitkan kerana mahu memberi keyakinan kepada semua pihak berhubung aplikasi berkenaan.

"Tiada perkara yang disembunyikan mengenai MySejahtera, sebab itu apabila dipanggil PAC, saya pergi sebab saya mahu beri keyakinan kepada orang ramai bahawa saya tiada apa-apa untuk disembunyikan.

"Bagi saya aplikasi ini penting, kita guna untuk Covid-19, vaksinasi dan untuk pantau pesakit di rumah.

"Apa yang dibentang dalam Dewan Negara dan PAC adalah keadaan sebenar bahawa data itu adalah data yang dimiliki kementerian (Kementerian Kesihatan Malaysia). Data itu selamat dan pangkalan datanya juga berada di negara ini," katanya.