KUALA LUMPUR - Sebanyak 97 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian kenderaan dalam operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur pada Jumaat hingga Ahad lalu.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, 53 motosikal dan 25 kereta disita dalam operasi itu.
Iklan
Iklan
"Motosikal yang disita telah diperiksa oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan mereka mengeluarkan 26 saman bagi pengubahsuaian ekzos.
"Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula mengeluarkan 24 saman kepada pemilik kereta kerana mengubah suai struktur kenderaan,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat JSPT Kuala Lumpur di sini, pada Selasa.
Sarifudin berkata, pemilik kereta Proton Wira turbo yang tular di Youtube diberikan notis JPJ dan diarah untuk menjalani pemeriksaan sekali lagi.
"Kita akan terus bekerjasama dengan JAS dan JPJ pada masa hadapan bagi memastikan semua pemandu mematuhi peraturan lalu lintas.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-20719999 atau talian hotline Polis Kuala Lumpur di 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.