Tiada keperluan peniaga naik harga juadah

Iklan
Alexander Nanta Linggi

PUTRAJAYA- Tiada keperluan untuk peniaga menaikkan harga jualan juadah berbuka puasa, tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Ini kerana katanya, harga barangan mentah bagi keperluan juadah berbuka puasa dan Aidilfitri telah dikawal kerajaan menerusi Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang sedang berkuat kuasa sehingga 5 Jun depan.

Iklan
Iklan

"Barang-barang tersebut termasuklah ayam, telur ayam, minyak masak sawit tulen, tepung gandum kegunaan am, gula, LPG untuk memasak, RON95 dan diesel untuk pengangkutan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan sesi walkabout di bazar Ramadan dekat sini pada Selasa.

Menurutnya, pemeriksaan dan pemantauan juga akan dilakukan ke atas premis-premis di bawah sektor peruncitan dan pengedaran.

Iklan

"Ini bagi memastikan pematuhan ke atas prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Beliau berkata, kementerian tidak teragak-agak untuk melaksanakan siasatan dan semakan harga jika terdapat aduan yang banyak terhadap sesebuah premis atau gerai.

Iklan

"Siasatan itu akan melibatkan semakan terhadap harga bahan mentah yang dibeli dari pembekal, kos pembuatan, kos operasi dan harga di peringkat pengeluar serta pemborong," katanya.

Ujar Alexander, KPDNHEP ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar terus mematuhi segala perundangan yang telah ditetapkan oleh kerajaan terutamanya sepanjang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas oleh pihak penguat kuasa kementerian.

"Pengguna juga dinasihatkan agar sentiasa berjimat-cermat dan merancang perbelanjaan serta memiliki pengetahuan berkenaan kedudukan harga barang bagi mengelakkan daripada dimanipulasi oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Menurutnya, lebih 2,000 anggota penguat kuasa KPDNHEP yang dibantu lebih 1,000 pegawai pemantau harga akan turun padang memantau harga jualan di seluruh negara termasuk di bazar-bazar dan gerai-gerai.

"KPDNHEP juga akan mempertingkatkan keberadaan anggota-anggota penguat kuasa di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pengguna termasuklah melalui penggunaan Van STAR (Skuad Tindakan Aduan dan Resolusi Pengguna) dan kereta peronda bagi mewujudkan ruang persekitaran perniagaan yang selamat dan beretika," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin mengakui kerajaan sukar untuk mengawal harga makanan yang telah dimasak berikutan tiada garis panduan berhubung perkara itu.