SKUAD badminton negara dibarisi pemain muda menyasarkan untuk membawa pulang sebutir pingat emas pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam yang dijadual berlangsung 12 hingga 23 Mei depan.
Tanpa mendedahkan acara yang disasar, jurulatih skuad badminton ke temasya sukan dwitahunan itu, Datuk Misbun Sidek berkata sandaran untuk meraih pingat emas diletakkan di bahu pasukan lelaki.
Menurut Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu, jumlah sasaran yang rendah adalah dipengaruhi tahap kekuatan skuad badminton negara selepas BAM mempertaruhkan kombinasi pemain remaja dan pelapis di Hanoi.
"Saya lihat ini masanya untuk kita kedepankan (tonjolkan) pemain muda seperti Justin (Justin Hoh), Ong (Xin Yee) dan Siti (Siti Nurshuhaini Azman) supaya pada masa akan datang kita ada pelapis yang boleh menggalas cabaran Malaysia.
"Jadi pada saya, apa boleh kita harapkan adalah kalau dulu kita dapat tiga emas, kali ini kita harapkan satu emas daripada pasukan lelaki, itu berdasarkan sasaran yang ditetapkan," katanya pada sidang media Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil pada Selasa.
Keputusan BAM menghantar skuad muda ke Hanoi dibuat memandangkan penganjuran Sukan SEA bertindih dengan kejohanan berprestij Piala Thomas dan Piala Uber yang dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand pada 8 hingga 15 Mei.
Sementara itu, Misbun berkata, tiada sasaran diletakkan terhadap pasukan wanita kerana peluang yang dilihat tipis, namun berharap temasya sukan itu dapat memberi pendedahan berguna kepada anak buahnya dalam usaha mereka mencipta nama tersendiri.
"Kalau kita lihat daripada saingan memang kita nampak ia akan menjadi agak berat untuk pasukan negara, jadi apa yang kita buat adalah kita set pasukan ini sebagai pendedahan, sasaran tidak dapat dibuat kerana mereka (pemain) terlalu muda," katanya.
Sementara itu Justin mengakui tidak sabar untuk membuat penampilan pertamanya di pentas Sukan SEA.
"Memang saya sangat teruja kerana diberikan peluang beraksi di Sukan SEA, tetapi saya juga akan buat yang terbaik. Saya mahu berterima kasih kepada jurulatih kerana beri peluang ini," katanya.
Kem badminton negara pada Sukan SEA Filipina 2019, berjaya meraih tiga pingat emas masing-masing menerusi Lee Zii Jia dalam acara perseorangan lelaki, S. Kisona (perseorangan wanita) dan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagi acara beregu lelaki. - Bernama