KEPONG - Jawatankuasa Bertindak Menyelamatkan Dewan Kepong Baru di sini membantah penyerahan pengurusan Dewan Sri Budiman kepada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).
Ahli Lembaga Penasihat Kepong, Abd Razak Abd Rahman berkata, jawatankuasa dibentuk mewakili penduduk Islam Kepong Baru menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengekalkan pengurusan sedia ada lama iaitu Persatuan Kebajikan Islam Kepong Baru yang mentadbir dewan itu sejak 1997.
Menurutnya, pengambilalihan itu disifatkan tidak adil kerana pembiayaan dan kos operasi dewan itu menggunakan wang pengurusan.
"Dewan ini dibangunkan dengan peruntukan dari ICU sebanyak RM50,000 dan dinaik taraf dengan kos mencecah ratusan ribu hasil sumbangan daripada orang perseorangan serta Yayasan Kepong.
"Penyelenggaraan dewan ini juga dibiayai sendiri oleh persatuan dan dijadikan pusat komuniti bagi program keagamaan, kenduri, kelas motivasi, latihan taekwando dan lain-lain," katanya selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Pengurus DBKL Parlimen Kepong, Ahmad Ibnu Sina Termizi, hari ini.
Jelasnya, dewan itu juga bebas digunakan pihak luar, pertubuhan bukan kerajaan, orang perseorangan tanpa sekatan.
"Tidak wajar dewan yang dibangunkan dengan hasil dana yang kami usahakan diserahkan kepada pihak lain, malah tindakan pihak tertentu cuba menimbulkan isu termasuk sewaan pusat cuci kereta kepada warga asing memberikan imej tidak baik kepada pengurusan sedangkan hasilnya digunakan bagi membiayai kos utiliti dewan.
"Jika hal itu menjadi kesalahan ia boleh dibincang dan diperbetulkan, tidak adil isu itu menjadi sebab pengurusan dewan perlu bertukar tangan," katanya.
Katanya, pihaknya akan tetap mempertahankan pengurusan dewan tersebut dan meminta DBKL membenarkan pengurusan sedia ada dikekalkan.
Sementara itu, Ahmad Ibnu Sina berkata, pihaknya akan mengemukakan bantahan penduduk itu dalam Jawatankuasa Khas Pengurusan Dewan DBKL yang bermesyuarat setiap hari Selasa.
"Sebelum ini DBKL mengarahkan pengurusan kawasan bukan hanya tertumpu bagi Kepong untuk membuat bancian dewan-dewan di tempat masing-masing.
"Daripada 20 dewan di Kepong, tiga daripadanya iaitu Sri Budiman, Pemadam Jinjang Selatan dan Pemadan Jinjang Utara dimohon oleh MPP bagi kegunaan pengurusan mereka yang sedang dalam proses penelitian sebelum sebarang keputusan diputuskan pihak atasan," katanya.