Siapa pendebat terhebat?

Iklan
Najib menyahut cabaran Rafizi sambil menetapkan syarat debat itu perlu disertai Anwar.

DALAM tempoh dua tiga hari ini, nama Datuk Seri Najib Tun Razak dan Rafizi Ramli meniti di bibir pemerhati politik negara selepas cabaran serta sahutan untuk berdebat berhubung isu semasa ketika ini.

Bekas Naib Presiden PKR yang kembali tampil mewarnai pentas politik negara terlebih dahulu mencabar bekas Perdana Menteri itu selepas kedua-duanya ‘berperang’ di media sosial berhubung kemelut melibatkan syarikat Sapura Energy Berhad (Sapura Energy).

Iklan
Iklan

Najib menyahut cabaran bekas Ahli Parlimen Pandan itu sambil menetapkan syarat debat itu perlu disertai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dan Anwar turut bersetuju memenuhi permintaan Najib untuk berdebat mengenai usaha menyelamatkan syarikat perkhidmatan medan minyak bersepadu Malaysia, Sapura Energy itu.

Iklan

Di satu sudut yang lebih mendalam, suasana debat ini pada hakikatnya dapat membina budaya fikiran yang berilmiah dengan negara-negara maju di dunia seperti Amerika Syarikat (AS) yang sudah mengamalkannya terutama ketika pilihan raya Presiden AS.

Negara jiran, Indonesia misalnya pada Januari 2019 ketika Pilihan Raya Presiden atau Pilpres juga telah melaksanakan program debat melibatkan Joko Widodo atau lebih mesra disapa Jokowi dan seteru pilihan rayanya, Prabowo Subianto, tiga bulan sebelum pengundian di negara demokrasi ketiga terbesar dunia itu.

Iklan

Debat yang disiarkan secara langsung ke semua stesen televisyen di Indonesia itu menyaksikan pengulangan persaingan pada 2014, apabila Jokowi berjaya mengalahkan jeneral bersara itu dengan tipis serta muncul sebagai presiden pertama yang bukan daripada golongan elit politik dan tentera.

Di Malaysia, budaya debat ini pula bukanlah perkara baharu tetapi masih belum mendapat tempat sehinggakan masih ada beranggapan debat adalah medan bergaduh emosi tanpa berdiskusi mencapai titik persamaan.

Sinar Harian sendiri telah menyediakan wadah Berani Bersemuka untuk orang politik beraksi tetapi masih ada yang tidak berani.

Diharapkan dengan debat Najib vs Anwar, Rafizi ini bukan hanya mahu mencari siapa pendebat terhebat tetapi dapat mencari jalan terbaik untuk Sapura Energy yang berdepan dengan kerugian berbilion-bilion ringgit ketika ini.