Lima kes ceroboh hutan simpan dikesan di Pahang

Iklan
Jengkaut yang dijumpai di salah satu hutan simpan yang diceroboh. Foto: Ihsan JPNP Pahang

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengesan lima kes pencerobohan hutan simpan di empat daerah di negeri ini dalam tempoh Januari hingga Februari tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, daripada jumlah itu, dua kes ceroboh hutan dikesan hutan simpan di Temerloh.

Menurutnya, tiga lagi kes melibatkan kawasan hutan simpan di Rompin, Cameron Highlands dan Jerantut.

Iklan
Iklan

"Kita juga merampas tiga unit jentolak dan sebuah motosikal yang digunakan individu terbabit untuk sampai ke kawasan hutan.

"Pencerobohan ini diketahui hasil rondaan daripada Unit Penguat kuasa JPNP Pahang Barat dan Timur dibantu Unit Tindakan Khas Pejabat Hutan Daerah (PHD)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Beliau menjelaskan, sebuah kilang papan yang beroperasi secara haram di Kampung Pulau Santap, Janda Baik, Bentong juga telah disita pada Mac lalu.

"Kilang terbabit dipercayai menghasilkan kayu bergergaji bersaiz kecil dan sederhana berdasarkan penggunaan mesin bersaiz kecil," katanya.

Iklan

Justeru, pihaknya akan terus mempergiatkan aktiviti rondaan di kawasan panas selain turut menggunakan satelit untuk mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan di Pahang.

"Pemantauan kegiatan menceroboh hutan simpan tetap terus dilakukan sepanjang Ramadan.

"Tidak ada istilah rehat buat anggota penguat kuasa dalam memastikan kesalahan hutan tidak berlaku," ujarnya.