PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan pasukannya masih belum selamat untuk layak ke peringkat separuh akhir kejohanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) meskipun berjaya menang selesa 3-1 ke atas Benfica di Estadio da Luz awal pagi Rabu.
Justeru Klopp menasihatkan skuadnya supaya sentiasa berwaspada dengan ancaman yang akan diberikan Benfica yang dilabelkan sebagai merbahaya pada aksi timbal balik di Anfield pada minggu hadapan sekaligus mampu meranapkan impian mereka untuk merangkul trofi UCL musim ini.
Iklan
Iklan
"Perlawanan ini masih belum tamat selagi kami belum melangkah ke separuh akhir kejohanan UCL.
"Walaupun kami berjaya membawa bekalan gol selesa untuk perlawanan timbal balik di laman sendiri, tapi kami percaya mereka (Benfica) mampu melakukan kebangkitan.
"Sekarang apa yang perlu dilakukan pasukan adalah kekalkan momentum untuk layak ke peringkat separuh akhir," katanya.
Pada perlawanan tersebut, tonggak pertahanan Ibrahima Konate membuka tirai jaringan perlawanan pada minit ke-17 yang berpunca daripada sepakan penjuru sebelum pemain sayap The Reds, Sadio Mane kemudiannya menggandakan jaringan buat pelawat.
Bagaimanapun, Benfica berjaya merapatkan kedudukan pada awal babak kedua apabila melalui jaringan Darwin Nunez sebelum Luis Diaz menoktahkan kemenangan Liverpool dengan menjaringkan gol ketiga untuk mencerahkan peluang Liverpool ke separuh akhir.