IPOH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak telah memulakan siasatan berhubung penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar.
Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, siasatan tersebut dibuat selepas pihaknya menerima aduan rasmi yang dilkemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi pada Selasa.
Menurutnya, beberapa individu yang terlibat berkaitan isu tersebut akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
"Siasatan ini dibuat bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.
"Individu-individu yang terlibat akan dipanggil untuk membantu SPRM dalam masa terdekat," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mohd Fauzi bagaimanapun tidak mendedahkan individu-individu yang akan dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan tersebut.
Pada Selasa, Asmuni bersama tiga lagi bekas Exco kerajaan negeri ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) iaitu ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How dan ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing hadir ke Pejabat SPRM Perak bagi mengemukakan aduan rasmi berhubung isu tersebut.
Howard Lee dalam sidang akhbar selepas itu menjelaskan tindakan tersebut dibuat bagi meminta siasatan lengkap dibuat terhadap isu tersebut memandangkan penjualan tanah dibuat tanpa melalui mesyuarat Exco seterusnya membersihkan nama PH.
Pada Isnin Pemuda PH Perak membuat laporan polis bagi menggesa siasatan segera dilakukan ke atas penjualan tanah yang dicadang dibangunkan sebagai lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.
Ketua Pemuda PH negeri, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, siasatan secara menyeluruh perlu agar mereka yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan.
Dalam laporan media sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membuat laporan polis berhubung perkara itu dan memberi jaminan kerajaan negeri akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.
Isu penjualan tanah lapangan terbang terbabit timbul selepas ADUN Aulong, Nga Kor Ming mendakwa tanah berkenaan sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.
Bagaimanapun Saarani memaklumkan bahawa penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta bagi tujuan pembangunan bercampur di kawasan terbabit.