ISLAMABAD - Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menyifatkan rakan sejawatnya Pertana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai negarawan Islam yang telah merubah Malaysia menjadi sebuah model teladan untuk dunia Islam.
Beliau berkata, Pakistan berbangga dengan cara Malaysia membangun dan meningkatkan taraf hidup rakyatnya di bawah kepimpinan Dr Mahathir.
"Kami mengikuti rapat kerana Pakistan sentiasa memiliki hubungan baik dengan Malaysia. Kami mengagumi anda kerana itu,” katanya pada sidang media bersama Dr Mahathir selepas perbincangan dua hala delegasi Malaysia-Pakistan di sini hari ini.
Imran berkata, beliau dan Pakistan juga mengagumi Dr Mahathir kerana tegas dalam isu-isu membabitkan dunia Islam, yang mana malangnya amat sedikit pemimpin Islam bersikap seperti itu.
"Seperti memerangi keganasan, bagaimana ia telah menjejaskan dunia Islam. Bagaimana Islamophobia menular di dunia Barat. Bagaimana umat Islam dilayan disebabkan perjuangan politik yang mengelirukan dan disengajakan.
"Apa juga jenayah yang dilakukan oleh seorang penganut Islam maka keseluruhan 1.3 bilion umat Islam di seluruh dunia akan dipersalahkan dengan jenayah itu. Ini digambarkan oleh insiden pembunuhan di Christchurch, di mana seorang pengganas menembak mati orang yang tidak bersalah, wanita dan kanak-kanak di dalam masjid, tanpa ada rasa kesal. Kami di dunia Islam telah memerhatikan anda mengambil pendirian dalam hal-hal yang melibatkan umat Islam,” katanya.
Sementara itu, Imran berkata, dalam dunia Islam terdapat dua pemimpin yang menonjol dalam isu-isu antarabangsa dan telah mentransformasi masyarakat, iaitu Dr Mahathir dan Presiden Turki sekarang, Recep Tayyip Erdogan.
"Kami telah melihat Malaysia melalui transformasi dan bagaimana taraf hidup dan pendapatan per kapita rakyatnya meningkat. Kini tenaga kerja warganegara Pakistan sudah mula pergi ke Malaysia... peluang-peluang pekerjaan diwujudkan agar tenaga kerja dari Pakistan akan pergi ke Malaysia,” kata beliau.
Beliau berkata, Dr Mahathir dan Erdogan adalah dua contoh teladan bagaimana kenegarawanan boleh merubah negara dan rakyat.
"Semasa krisis ekonomi melanda Asia Tenggara pada 1998, Malaysia adalah satu-satunya negara yang berjaya keluar daripada krisis itu menggunakan jalan penyelesaiannya sendiri. Kami, Pakistan, kini sedang menghadapi situasi ekonomi yang sukar... dan banyak yang perlu dilakukan untuk keluar daripada kesulitan ini,” kata beliau. - Bernama