SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengagihkan sebanyak 4,000 bekas bubur lambuk dari Kampung Baru, Kuala Lumpur kepada pengunjung secara percuma di Kompleks PKNS, Seksyen 14, di sini pada Selasa.
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, tradisi mengagihkan bubur lambuk tersebut sering diadakan sejak dua dekad lalu sebagai aktiviti tahunan, namun terhenti sejak dua tahun lalu akibat penularan wabak Covid-19.
Menurutnya, sebanyak RM30,000 diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif tersebut, sambil disertai oleh pihak pengurusan PKNS yang turut turun padang pada program agihan bubur lambuk di sini.
"PKNS membuat edaran bubur lambuk ini setiap tahun dan ini adalah satu tradisi kami sejak dua dekad lalu, yang mana pihak pengurusan PKNS akan turun padang serta mengagihkan bubur ini kepada warga Shah Alam yang datang ke Kompleks PKNS ini.
"Kita membelanjakan sebanyak RM30,000 untuk program ini,” katanya ketika sidang media majlis Agihan Bubur Lambuk Kasih PKNS di sini pada Selasa.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), Fakru Radzi Ab Ghani.
Dalam perkembangan lain, Mahmud turut memaklumkan pengisian program lain yang dirancang oleh pihaknya sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Ujarnya, pihak PKNS akan melawat rumah-rumah anak yatim di Selangor dan menyalurkan dana kepada institusi tersebut, selain daripada menjemput anak-anak tersebut ke majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh pihaknya.
"Setiap tahun, kita melawat sebanyak lima hingga 10 rumah anak-anak yatim, yang mana selain daripada memberi sedekah, kita juga membawa anak-anak yatim ke majlis berbuka puasa yang kami anjurkan.
"Kakitangan kita juga membuat kutipan dana dalam satu tabung untuk diagihkan kepada anak-anak yatim dan asnaf,” katanya.
Di samping edaran bubur lambuk secara percuma, para pengunjung juga boleh berkunjung ke Cahaya Festira 2022 iaitu program jualan yang diadakan serentak di Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan Kompleks PKNS Bangi.
Program tersebut mendapatkan lebih 500 gerai jualan yang mempromosikan pelbagai aneka hari raya, seperti kuih raya, baju raya, rendang, dodol, ketupat, lemang dan sebagainya kepada orang ramai.
Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti menarik Cahaya Festira 2022 seperti ceramah agama, bacaan ayat suci al-Quran oleh pelajar tahfiz, persembahan seni budaya, ‘buskers’ kerohanian dan persembahan artis-artis jemputan akan turut mewarnai festival berkenaan.