CCS pantau pengunjung bazar, elak kesesakan

Iklan
Mohamad Azhan (dua kiri) meninjau paparan sistem CCS yang dipasang di SS 6/1 Kelana Jaya pada Selasa bagi mengawal jumlah pengunjung di bazar berkenaan.
PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya perkenal Sistem Kawalan Orang Ramai (CCS) bagi mengawal jumlah pengunjung bazar Ramadan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir berkata, sistem menggunakan fungsi infra merah itu dilaksanakan di Bazar Ramadan SS 6/1 Kelana Jaya dan Seksyen 4 Kota Damansara yang merupakan dua bazar utama yang menjadi tarikan pengunjung di Petaling Jaya.

Menurutnya, menerusi sistem tersebut jumlah pengunjung akan dikawal menerusi had bilangan yang dipaparkan pada papan pemuka (dashboard) di pintu masuk bazar.

Iklan
Iklan

"Tiga tanda warna akan menunjukkan tahap keberadaan pengunjung di bazar Ramadan iaitu hijau, kuning dan merah.

"Hijau menandakan pengunjung terkawal, kuning sebagai isyarat separuh bazar dipenuhi pengunjung dan merah menunjukkan pengunjung telah memenuhi keseluruhan bazar Ramadan tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di Bazar Ramadan SS 6/1 Kelana Jaya pada Selasa.

Antara pengunjung yang membeli juadah berbuka puasa di SS 6/1 Kelana Jaya pada Selasa.

Iklan

Katanya, apabila paparan bertukar merah maka pengunjung seterusnya perlu menunggu sehingga isyarat bertukar hijau atau kuning sebelum dibenarkan memasuki bazar berkenaan.

Ditanya berkenaan kemungkinan sistem tersebut bakal diperluaskan ke bazar Ramadan lain katanya, perkara itu akan dipertimbangkan berdasarkan tempoh percubaan di dua lokasi bazar berkenaan.

Iklan

"Sistem ini dimiliki oleh sebuah syarikat dan MBPJ menyewa sistem ini dengan RM20, 000 bagi setiap satu.

"Jika sistem ini terbukti bagus dan sekiranya MBPJ ada peruntukan mencukupi di masa hadapan, kita tidak teragak-agak akan memperluaskan sistem ini di kawasan lain," katanya.

Pada perkembangan sama Mohamad Azhan berkata, MBPJ meneruskan inisiatif pemberian kupon sebanyak RM15 kepada pengunjung bazar yang membawa bekas makanan atau beg kitar semula.

Jelasnya, langkah tersebut bagi mengurangkan penggunaan polisterin dan beg plastik sebagai menyokong kempen bebas beg plastik di Petaling Jaya.

Selain itu katanya, MBPJ turut melaksanakan kempen pengumpulan minyak masak terpakai sempena Ramadan yang turut menawarkan hadiah menarik sebagai galakan orang ramai mengamalkan cara hidup lestari.

Pada Ramadan ini, MBPJ menyediakan 20 bazar Ramadan di Petaling Jaya dan seramai 646 peniaga telah diberikan permit untuk berniaga bermula 3 April hingga 2 Mei.