BIARPUN kecewa dengan kekalahan 0-1 kepada Manchester City pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Etihad pada Rabu, pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone menjanjikan aksi lebih sengit pada aksi suku akhir kedua di Wanda Metropolitano 14 April ini.
Menurut Simeone, perbezaan satu gol dimiliki City dilihat mampu dipadam oleh skuad kendaliannya itu pada aksi suku akhir kedua kelak.
"Kelebihan City tidaklah begitu besar dan kami yakin mampu untuk memadam kelebihan berkenaan pada aksi suku akhir kedua nanti.
"Cuma diharapkan pemain dapat melakukan yang terbaik pada aksi suku akhir kedua berkenaan selain tidak mudah leka dan melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya.
"Selain itu, pemain juga diingatkan agar tidak mempersia-siakan peluang beraksi di depan penyokong sendiri bagi meraih kemenangan yang diharap-harapkan,” katanya.
Pada aksi suku akhir pertama, Atletico tewas 0-1 menerusi jaringan Kevin de Bruyne pada minit ke-70.
Mengulas mengenai perlawanan berkenaan, Simeone mengakui bahawa City merupakan antara pasukan terbaik di dunia ketika ini.
Malah katanya, City juga dilihat memiliki pemain yang serba lengkap di semua posisi dan ini memudahkan percaturan taktikal terbaik dilakukan.
"Kami sebenarnya sudah merancang sesuatu dengan menyusun pertahanan kemudian memerangkap mereka menerusi serangan balas.
"Bagaimanapun, kami yang akhirnya terperangkap dan mereka (City), berjaya membuka jaringan ketika kami mula mendapat mencipta peluang,” katanya.