SEREMBAN - Mayat seorang lelaki etnik Rohingya ditemui dengan kesan tikaman di bahagian perut dipercayai dibunuh oleh rakan senegara di sebuah rumah di Jalan Bukit Tembok di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 10 pagi daripada orang awam.
"Sebaik tiba di lokasi, polis menemui satu mayat lelaki warga Rohingya berusia 19 tahun di bahagian lorong dapur menuju ke bilik dengan kesan tikaman di perut.
"Hasil siasatan awal mendapati, mangsa ditikam dengan menggunakan senjata tajam dan meninggal dunia lebih kurang lima jam," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Rabu.
Menurutnya, difahamkan mangsa menumpang di rumah sewa suspek berusia 40-an sejak seminggu lalu sebelum berlaku pergaduhan antara mereka yang tidak diketahui puncanya.
"Jiran memaklumkan terdengar bunyi pergaduhan dari rumah suspek malam tadi. Majikan suspek juga ada datang mencari suspek di rumah selepas dia tidak datang ke tempat kerja pagi ini," katanya.
Sementara itu Nanda berkata, suspek bekerja sebagai buruh itu berjaya ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sebuah kedai pakaian di Pulau Pinang, kira-kira jam 2 petang Rabu.
Ujarnya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke IPD Seremban dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, seorang saksi berusia 29 tahun yang menjumpai mayat itu berkata, suspek ada memberitahu telah bergaduh dengan rakan serumahnya itu sebelum melarikan diri kerana khuatir mangsa akan meninggal dunia.
"Jadi pagi tadi saya telah ke rumah suspek selepas diarah oleh bapa dan menemui mayat mangsa jam 9.40 pagi.
"Saya ke rumahnya kerana suspek berjanji akan bekerja dengan bapa saya hari ini tetapi dia tidak datang. Apabila dihubungi dia mengaku bergaduh dengan rakan serumah dan sudah melarikan diri serta tidak tahu sama ada mangsa masih hidup atau sudah mati," katanya.