IPOH - Perak mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama memperkenalkan Dasar Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dasar tersebut dilaksanakan sebagai usaha memperkasakan sukan terhadap golongan berkenaan agar penglibatan semua pihak secara menyeluruh dapat memeriahkan lagi sukan di negeri ini.
Menurutnya, dasar berkenaan merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan kesaksamaan hak, peluang dan kepentingan OKU khususnya dalam bidang sukan lebih terjamin seperti mana yang ditetapkan di bawah Akta Orang Kelainan Upaya 2008 dan Dasar Orang Kelainan Upaya.
"Pembangunan sukan OKU memerlukan sokongan dan komitmen semua pihak. Ia perlu bermula daripada peringkat akar umbi agar potensi OKU dapat dikenalpasti dan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.
Saya percaya kebanyakan atlet cemerlang sukan paralimpik juga telah melalui semua peringkat berkenaan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Dasar Sukan OKU Perak dan Pelancaran Belia Perak Bertadarus di Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Hadir sama pada majlis itu, Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed dan Setiausaha Kerajaan negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Saarani berkata, Dasar Pembangunan Sukan OKU yang dilancarkan itu melibatkan enam strategi iaitu Memperkukuhkan Struktur Pentadbiran Atlet Para Negeri Perak, Memperkasakan Program Pembangunan Atlet Para Memantapkan sistem kejurulatihan dan Kepegawaian, Pelaksanaan Penganjuran dan Penyertaan Kejohanan, Menyediakan Kemudahan dan Fasiliti Sukan serta Meningkatkan Kerjasama Strategik Antara Agensi.
Menurutnya, bagi tujuan itu juga kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM700,000 untuk disalurkan kepada Majlis Sukan Negeri Perak bagi tujuan pembangunan program sukan OKU di negeri ini.
Jelasnya, peruntukan tersebut akan diagihkan untuk program-program pembangunan bakat sukan OKU, pemantapan sukan prestasi tinggi bagi sukan para, pengukuhan kerjasama strategik dan kebajikan atlet.
Dalam pada itu, Saarani turut menggesa semua pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan swasta memainkan peranan masing-masing di peringkat sekolah, daerah, negeri, kebangsaan dan seterusnya antarabangsa dalam membantu membangunkan sukan OKU.